Khamis, 5 Januari 2017

MPK tak luluskan pertunjukan bunga api, kata Exco Selangor

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baru di program Pesta Gegar Klang itu tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).
 
Menerusi satu kenyataan, Ean berkata MPK tidak pernah meluluskan aktiviti pertunjukan bunga api pada malam berkenaan.
 
"Mengikut siasatan awal dan rekod mesyuarat, MPK tidak pernah meluluskan pertunjukan bunga api di dalam program Pesta Gegar Klang tahun 2016. Justeru dengan itu, ia bukan salah satu komponen atau pertunjukan di dalam program rasmi Pesta Gegar Klang tahun 2016," kata Ean.
 
Dalam insiden berkenaan, seramai 14 pengunjung cedera selepas bunga api meletup di kawasan tapak berkenaan.
 
Ean yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Negeri menambah, seorang pegawai daripada MPK telah diberikan arahan untuk bercuti sehingga 31 Januari depan sementara menunggu laporan daripada Jawatankuasa Penyiasatan selesai.
 
"Pegawai yang terlibat dalam isu ini telah diberikan arahan untuk mengambil cuti mulai 3 Januari 2017 hingga 31 Januari 2017, sementara menunggu laporan penyiasatan. 
 
"Kerajaan Negeri memandang serius tentang insiden ini. Sebarang pegawai atau pihak yang didapati berlaku cuai dan menyalahguna kuasa akan dikenakan tindakan displin atau undang-undang," katanya lagi.
 
Katanya juga, MPK telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyiasatan sehari selepas kejadian itu.
 
Jawatankuasa ini dianggotai oleh dua orang pengarah jabatan, seorang timbalan pengarah dan seorang pegawai tadbir.
 
Siasatan ke atas kejadian itu akan mengenalpasti prosedur operasi standard (SOP) yang telah digunapakai sama ada mematuhi tatacara yang ditetapkan oleh peraturan dan undang-undang sedia ada.
 
Laporan lengkap berhubung insiden letupan bunga api itu dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.
 
 

Tiada ulasan: