PETRA JAYA: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),
Tan Sri Alfred Jabu Numpang, hari ini mengambil keputusan untuk berundur
dari arena politik yang diceburinya sejak lebih 40 tahun lalu untuk
memberi laluan kepada pemimpin lebih muda, khususnya Timbalan Ketua
Menteri ketika ini, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Pengunduran Jabu yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri itu diumumkan
oleh Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg,
pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB, di sini,
hari ini.
"Tan Sri (Jabu) mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam politik dan
kita meminta beliau memanfaatkan pengalaman itu untuk menjadi penasihat
kita sebagai `apai PBB' (bapa PBB).
"Beliau memberi sumbangan yang cukup besar dalam mengukuhkan parti
sehingga berjaya meletakkan PBB pada kedudukan sekarang," katanya.
Abdul Rahman Zohari berkata, berikutan keputusan Jabu itu, tempat
beliau sebagai orang nombor dua dalam parti politik terbesar Sarawak itu
kini dipangku Uggah yang juga Naib Presiden Kanan PBB.
"Selain itu, kekosongan satu lagi jawatan Timbalan Presiden yang kosong
berikutan pelantikan saya sebagai Ketua Menteri dan Presiden parti akan
dipangku seorang lagi Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Awang Tengah Ali
Hassan," katanya.
Mengenai calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, 18 Februari depan, Abdul Rahman
Zohari berkata, beberapa nama sudah disenarai pendek dan beliau akan
mengumumkannya dalam tempoh terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan