shahbudondotcom
Rundingan
bagi mewujudkan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia
atau Bersatu dengan Pas yang sepatutnya sudah tamat, akhirnya diberi
lanjutan masa lagi sehingga 2 Februari depan untuk dimuktamadkan.
Diberitakan
masih ada segelintir pemimpin Bersatu yang percaya hubungan dengan Pas
masih boleh diwujudkan, meskipun dalam masa yang sama mereka juga sedar
ada pemimpin Pas yang masih melakukan serangan berterusan kepada Tun
Mahathir Mohamad.
Tarikh 2
Februari bakal menjadi perbincangan terakhir antara Bersatu dengan Pas.
Selepas tarikh itu, tiada lagi perbincangan lain dan masa serta tempat
pertemuan sehingga ini belum lagi diputuskan.
Tetapi,
sementara Presiden Pas, Hadi Awang kelihatan seperti mempunyai banyak
masa untuk menghadiri beberapa majlis dengan Presiden UMNO, Najib Razak,
beliau sebaliknya hanya menghantar Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan
Man untuk berunding dengan delegasi Bersatu yang diketuai Presidennya,
Muhyiddin Yassin dalam pertemuan sebelum ini.
Untuk
itu, dalam pertemuan pada 2 Februari nanti, Bersatu memutuskan hanya
Mukhriz Mahathir selaku Timbalan Presiden Bersatu yang akan mengetuai
delegasi perundingan, sesuai dengan Pas yang masih mengekalkan Tuan
Ibrahim sebagai ketua delegasi.
Muhyiddin hanya akan dikembalikan untuk mengetuai delegasi rundingan sekiranya Pas juga menukar Tuan Ibrahim kepada Hadi Awang.
Bagaimanapun, sehingga ini rundingan pada 2 Februari kekal diketuai akan oleh timbalan presiden kedua-dua parti tersebut.
Apa harapan kepada rundingan itu nanti?
Dalam
sidang media selepas mesyuarat MT UMNO semalam, antara yang diumumkan
oleh Najib Razak ialah UMNO dan Pas akan sekali lagi berkongsi pentas
dalam majlis pelancaran kapal misi Flotilla Rohingya pada 3
Februari akan datang.
Walaupun
tidak diumumkan tentang kehadiran Hadi Awang dalam majlis pelancaran
itu, tetapi sekiranya Najib hadir, kemungkinan besar Presiden Pas juga
sedia melapangkan masanya.
Lagi
pun, dengan keghairahan Najib mengumumkan sekali lagi UMNO dan Pas akan
duduk sepentas, walaupun mengatakan hanya berkaitan Islam dan
kepentingan ummah, sebenarnya tersirat apa yang lebih besar mahu diraih
ialah laba politik daripada majlis tersebut.
Jika
benar ikhlas untuk kepentingan ummah dan membantu Islam di Rohingya,
pelancaran kapal itu lebih baik dilakukan secara senyap-senyap kerana
yang lebih penting untuk dibantu ialah umat Islam yang sedang menderita
di Rohingya, bukannya menghebah-hebahkan kehadiran Pas.
Dalam masa yang sama, kenapa Pas saja yang disebut hadir, tetapi tidak parti-parti politik yang lain?
Yang
lebih penting, tarikh 3 Februari itu hanya jatuh sehari selepas tarikh
pertemuan antara Bersatu dengan Pas yang dijangka akan memutuskan sama
ada akan wujud kerjasama atau tidak antara kedua-dua parti itu.
Agak-agak positif atau negatif rundingan 2 Februari nanti?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan