Isnin, 23 Januari 2017

Serangan Ampang: Pengawal keselamatan jadi ‘tugu’

 
Presiden Persatuan Pembangunan dan Latihan Keselamatan (Stadam) Khirudin Tajudin berkata pengawal keselamatan tidak bertindak adalah simptom masalah yang dihadapi industri keselamatan.


stadam

PETALING JAYA: Tindakan pengawal keselamatan yang “buat bodoh” dan hanya melihat pemandu lori dibelasah sekumpulan lelaki di Ampang minggu lalu amat mengecewakan tetapi tidak mengejutkan, kata veteran industri keselamatan.

Presiden Persatuan Pembangunan dan Latihan Keselamatan (Stadam) Khirudin Tajudin berkata pengawal keselamatan tidak bertindak adalah simptom masalah yang dihadapi industri keselamatan.

“Tentu berbeza jika syarikat keselamatan di Malaysia mengambil pengawal sebenar, bukannya Tom, Dick dan Harry.

“Inilah masalah industri. Banyak syarikat keselamatan hanya mahu mengaut keuntungan, bukannya menyediakan perkhidmatan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata syarikat keselamatan seumpama itu hanya mahu membekalkan pengawal kerana ada permintaan untuk pengawal keselamatan, tetapi mereka sebenarnya tidak peduli mengenai keselamatan.

“Jadi mereka hanya ambil sesiapa saja yang cari kerja. Tetapi pengawal mungkin tidak ada ciri mental yang tepat untuk jadi pengawal.

“Jadi bila situasi seperti ini berlaku, pengawal itu hanya tengok sajalah, bukannya bertindak. Memang memalukan jika pengawal hanya jadi penonton,” katanya.

Khirudin berkata dalam kejadian di Ampang itu, memang jumlah pengawal berkenaan kurang tetapi itu bukan alasan untuk tidak cuba mematahkan serangan berkenaan.

Katanya, pengawal keselamatan bertanggungjawab untuk menjaga keamanan, dan serangan terhadap pemandu lori itu boleh jadi lebih teruk dan mangsa mungkin hilang nyawa.

Beliau berkata itu sebabnya mengapa penting untuk syarikat keselamatan melengkapkan pengawal dengan peralatan diperlukan serta latihan bagi mengawal keadaan, terutama ketika jumlah mereka kurang berbanding penyerang.

Katanya, amat penting juga pengawal keselamatan diberi latihan dan menerima pentauliahan minimum daripada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri.

Minggu lalu, seorang pemandu lori terlanggar kereta Mercedez Benz milik seorang “Datuk” ketika mengundurkan lorinya.

Kemalangan trafik kecil itu menyebabkan pemandu lori berkenaan diserang secara ganas sekumpulan lelaki di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang.

Kejadian dirakam video dan rakaman itu menjadi viral di laman sosial.

Video 2 minit itu memaparkan pemandu lori diserang seorang lelaki berbaju hijau sebelum 4 lagi individu menyertai serangan itu menendang muka dan tubuh mangsa yang terbaring di atas tanah

Tiada ulasan: