Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Adalah agak jelas PKR keliru berhubung usaha membangun sebuah pakatan pembangkang yang kuat untuk mencabar Umno-BN dalam pilihanraya umum ke-14.
Pendirian pemimpin-pemimpin PKR kelihatan bercelaru terutama dalam isu
meneruskan atau mengubah pendirian terhadap tahaluf siyasinya dengan
PAS.
Pada
satu sisi, Naib Presidennya, Dr Xavier Jayakumar berkata, terserah pada
PAS ingin menilai semula kerjasama dengan PKR tetapi PKR tetap ingin
meneruskannya.
Beliau berkata, PKR tiada masalah bekerjasama dengan PAS setakat ini
dan hubungan itu berterusan khususnya dalam konteks kerajaan negeri
Selangor.
"Dia (PAS) mahu menilai atau tidak, itu perkara nombor dua. Kita sekarang bekerjasama dengan PAS, dan kita akan teruskan.
"Kita ada perhubungan dengan PAS, kita bercakap dengan PAS tiap-tiap
minggu menerusi mesyuarat Exco. Kita ada exco PAS dalam kerajaan, tiada
masalah," katanya.
ADUN Sri Andalas itu berharap, usaha Penasihat DAP, Lim Kit Siang
menghulur salam perdamaian kepada PAS sebagai petanda positif bagi
pembangkang.
Malah seorang lagi Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin juga menaruh harapan PAS menyambut baik salam perdamaian DAP.
Beliau berkata, inisiatif DAP itu adalah bagi mengelak pertembungan lebih dua penjurumenentang Barisan Nasional (BN).
DAP memaklumkan kesediaan rujuk kembali bekerjasama dengan PAS demi
menyelamatkan Malaysia daripada menjadi contoh kleptokrasi dunia.
Azmin sindir PAS
Malangnya, pendirian dua Naib Presiden PKR itu dicemari komen Timbalan
Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang sinis terhadap pendirian PAS
yang dianggapnya mahu mendominasi pembangkang.
Beliau menyifatkan kepimpinan PAS sebagai 'kuku besi' kerana hanya mahu
bekerjasama dengan pihak yang sedia mengikut telunjuk parti itu.
Azmin
Ali berkata, syarat yang dikenakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang supaya pembangkang meneladani pengalaman PAS menentang BN, sebagai
satu proses demokrasi yang tidak sihat.
"Kalau paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku, itu bukan demokrasi, tetapi itu kuku besi," katanya.
Komen Azmin itu dilihat bakal mengeruhkan lagi hubungan tahaluf siyasi
di antara PKR dan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beberapa pemimpin PAS sebelum ini mendesakpimpinan parti itu mengkaji semula hubungan dengan PKR yang diasaskan pada PRU 2008.
Pendirian Azmin itu pula dilihat mirip pemikiran politik Pengerusi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad yang
mendesak PAS segera menentukan mahu atau tidak bekerjasama dengan
pembangkang lain.
Desakan Mahathir ini membuat pimpinan PAS berasa tercabar dan mengambil
pendirian ‘PAS tidak memerlukan pemimpin angkuh seperti Tun Dr Mahathir
Mohamad’.
Ketua
Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, veteran politik itu mungkin
diperlukan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan survival politik
mereka, tetapi tidak PAS.
Malah ujar Nasrudin, sasaran utama Dr Mahathir sebenarnya bukan untuk
mengalahkan Umno, sebaliknya menyasarkan PAS yang didendamnya kerana
‘enggan turut kemahuannya’.
Amanah keruhkan keadaan
Ketika PKR agak bercelaru dalam isu ini, parti Amanah pula mengeruhkan
keadaan dan ini mungkin mendorong PAS semakin menjarakkan diri
daripembangkang.
Amanah menuduh Blok Ketiga yang dibarisi PAS, Parti Ikatan Bangsa
Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA),
sebagai proksi Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa Blok Ketiga itu adalah alat untuk memecah-belahkan pembangkang.
"Amanah dan parti rakan dalam HARAPAN (Pakatan Harapan) dan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan melaksanakan kempen besar-besaran
ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham bahawa pakatan Blok
Ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama
BN," katanya.
PAS masih enggan memberi kata putus sama ada mahu bersama Pakatan Harapan (PH) dan PPBM atau Umno-BN, pada menuju PRU14.
PAS
bertegas tidak akan menjalin hubungan politik dengan DAP dan parti
serpihannya, Amanah. Ia juga menepis dakwaan ada hubungan dengan BN.
PKR terus bercelaru dalam isu ini. Ketika ia mempergiatkan usaha
memujuk PAS bekerjasama, kerabatnya Amanah dan PPBM terusnya menyerang
PAS.
Semakin keliru PKR dan semakin haru pakatan pembangkang. Amanah dan
PPBM nampaknya bertekad mengambil tindakan sendiri menyerang PAS, tidak
kira PKR setuju atau tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan