Jumaat, 27 Januari 2017

Annuar Musa sedia tarik diri jika Khairy tanding presiden FAM

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, sedia menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu bertanding.

Annuar yakin Menteri Belia dan Sukan itu adalah calon yang paling layak untuk menerajui kerusi panas itu, berikutan pengalamannya mengendalikan pasukan MyTeam, selain pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM sebelum ini. 
 
"Pencalonan saya tidak lagi releven bila KJ (Khairy) sudi menerima pencalonan dirinya. Good luck KJ. 
 
"Saya harap beliau dapat memasukkan aspirasi penyokong dan peminat bola sepak negara yang mahu melihat Malaysia sebagai Top 100 Nation dalam arena bola sepak. 
 
"Diharap KJ dapat memperluas Pelan Induk Pembangunan Bola Sepak Negara kepada satu blueprint komprehensif 30 tahun, yang memungkinkan berubahnya DNA bola sepak Malaysia," katanya menerusi kenyataan, hari ini. 
 
Terdahulu, Khairy berkata, beliau belum membuat keputusan mengenai perkara itu dan sedia menarik diri jika seorang lagi calon, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhasrat bertanding. 
 
Selain Khairy, Annuar dan Tunku Ismail, turut dicalonkan adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat. 
 
Bagaimanapun, sehingga kini, semua calon masih berteka-teki mengenai keputusan mereka sama ada mahu bertanding atau tidak. 
 
Annuar, yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, usaha menolak peranan dan pembabitan ahli politik dalam bola sepak negara bererti menolak dan menafikan peranan majoriti pimpinan bola sepak negara dan negeri pada masa kini. 
 
Beliau berkata, 12 daripada 19 ahli gabungan FAM pernah atau sedang dipimpin oleh ahli politik daripada pelbagai latar belakang seperti UMNO, PKR, PAS dan DAP. 
 
"Presiden FAM yang menolak atau tidak bekerjasama dengan orang politik bakal gagal membangunkan bola sepak negara dengan berkesan. 
 
"Pembangunan bola sepak Malaysia memerlukan persefahaman dan kerjasama pelbagai pihak dalam suasana saling menghormati dan penuh muafakat," katanya. 
 
Semua calon itu perlu memberi keputusan sama ada mahu bertanding sebelum tarikh tutup pada 13 Februari kepada Sekretariat FAM. 
 
Senarai akhir calon akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco FAM, manakala pengumuman kepada media akan dibuat pada 20 Februari.
 
 

Tiada ulasan: