Oleh Shuhaniza Said
BANGI: PAS bukan mengamalkan pendekatan 'kuku besi' terhadap mana-mana
parti yang ingin menjalinkan kerjasama dengan mereka, sebaliknya parti
itu sekadar mempertahankan dasar perjuangan mereka selama ini.
Penganalisis
politik, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata demikian ketika
diminta mengulas tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali
yang melabelkan PAS sebagai mengamalkan politik 'kuku besi'.
"Parti lain kena faham sesebuah parti ditubuhkan kerana apa. Kalau
mereka faham, itu bukan kuku besi. PAS ditubuhkan untuk memperjuangkan
Islam.
"Adakah PKR, DAP dan PAN (Amanah) faham? Jadi, tak salah mereka (PAS)
katakan, kalau tak mahu ikut kami, 'no way' (kerjasama). Sebab ini
prinsip mereka.
"PAS adalah parti Islam se-Malaysia. Bukan PKR dan PAN (Amanah). Bukan
kuku besi sebab itulah matlamat mereka, itulah parti mereka ditubuhkan
atas dasar Islam," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama
Antarapos.
Azmin bertindak melabelkan PAS sebegitu selepas diminta mengulas
kenyataan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa
mana-mana parti yang hendak bekerjasama perlu mengikut rentak politik
mereka.
"Saya tak melihatnya sebagai kuku besi sebab dia (Hadi) orang yang
berprinsip, orang yang memperjuangkan matlamat parti, itu saja," katanya
lagi.
PAS kini hanya meneruskan tahaluf siyasi bersama PKR dalam pentadbiran
Selangor selepas Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai DAP, terkubur
pada 2015.
Dalam masa yang sama PAS menjalankan rundingan bersama Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), namun belum memberi kata muktamad untuk
menyertai Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun dengan pendirian PAS yang enggan mempunyai hubungan dengan
DAP dan Amanah, selain sikap lantang Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir
Mohamad yang kerap menghentam mereka, kemungkinan rundingan PAS-PPBM itu
sukar untuk dijayakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan