Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: PAS sudah tidak menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan
(PH), jadi terpulang kepada parti itu untuk bertanding seberapa banyak
kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata partinya tidak mahu
ambil pusing mengenai perkara tersebut, apatah lagi PAS kini enggan
memberikan kerjasama dengan pembangkang dalam soal pembahagian kerusi
dan kerjasama hadapi PRU.
"Oleh kerana dia (PAS) tidak ada dalam Pakatan Harapan, kita nak ajak
bincang (isu pembahagian kerusi) pun dia tolak dan tutup pintu
perundingan.
"Jadi saya rasa oleh kerana dia di luar daripada Pakatan Harapan, jadi
untuk dia (PAS) bertanding berapa kerusi pun itu hak dia, kita tidak ada
apa-apa masalah," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Awal
hari ini, Presiden PAS berkata partinya menyasarkan untuk memenangi
sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada PRU14 akan datang.
Ujar Hadi PAS perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui
strategi mempertahankan Kelantan dan Selangor selain memerintah semula
Terengganu dan Kedah.
Malah parti itu mempunyai tanggungjawab mempertahankan Islam dan memastikan Islam memerintah, katanya.
Hadi sebelum ini berkata parti itu telah menutup pintu rundingan dengan
DAP untuk kerjasama menghadapi PRU14 namun masih membuka pintu
perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Ia ekoran tindakan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang berkata partinya
boleh bekerjasama sekali lagi dengan PAS jika Hadi bersedia memberi
komitmen untuk menyelamatkan Malaysia.
PAS dan PPBM dijadualkan akan membuat keputusan ekoran kerjasama antara
kedua-dua parti itu pada 2 Februari depan selepas perkara itu
dimaklumkan oleh Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Dia (PAS) nak berunding dengan BERSATU (PPBM) atau parti-parti lain,
kita alu-alukan tapi oleh kerana dia tidak bersama dengan PH itu kita
tidak mengambil kira sebarang kerusi yang dia nak bertanding," jelas
Salahuddin mengenai kerjasama PAS-PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan