Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Amanah bersikap terbuka terhadap rundingan kerjasama sesama
parti pembangkang dalam mendepani Umno-Barisan Nasional (BN) pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, meskipun PAS sudah
menolak kerjasama dengan DAP, adalah tidak wajar untuk membuat
kesimpulan awal hala tuju kerjasama di antara PAS dan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM).
Sesetengah pemerhati melihat kerjasama PAS-PPBM akan terbantut disebabkan adanya kerjasama PPBM bersama DAP.
"Kita akan melihat sehingga apakah hasil rundingan PPBM dengan PAS, kita alu-alukan rundingan itu.
"Kalau semua bersedia untuk masuk dalam satu pasukan pembangkang untuk mendepani BN, saya alu-alukan rundingan PAS-PPBM.
"Dengan DAP itu, tak apa, itu tak payah cerita pun orang tahu bahawa
memang PAS tak boleh terima DAP," katanya kepada Antarapos.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menegaskan bahawa
partinya tidak akan menjalin kembali kerjasama dengan DAP untuk pilihan
raya umum depan.
Bagaimanapun kata Hadi, pendirian itu berbeza terhadap PPBM, di mana PAS masih terbuka untuk mengadakan kerjasama.
Katanya, agenda PAS dan DAP berbeza kerana PAS bukan hanya mahu menang
pilihan raya tetapi juga membawa perubahan dalam masyarakat.
Berkenaan PPBM pula, pintu rundingan masih terbuka, walaupun
pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tempoh untuk PAS berbincang
sudah berakhir.
PPBM dan PAS bakal mengadakan perjumpaan pada 2 Februari depan bagi membincangkan kerjasama politik menuju pilihan raya.
Namun ada dalam kalangan pemimpin PAS menjangkakan rundingan itu tidak
akan berjaya disebabkan dasar perjuangan PAS dan PPBM jelas bercanggah
sama sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan