KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor menyerahkan kepada presiden parti untuk memutuskan kedudukan Tan
Sri Annuar Musa selaku Ketua Penerangan Umno yang digantung tugas
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Tengku Adnan menjelaskan jawatan Annuar itu adalah lantikan Presiden, Datuk Seri Najib Razak.
"Jawatan beliau dalam Umno dilantik presiden dan penggantungan Tan Sri Annuar adalah dalam agensi kerajaan.
"Tidak berbangkit jawatannya dalam Umno, tetapi ia terpulang kepada
pandangan presiden," katanya dipetik sebuah agensi portal berita.
MARA hari ini menggantung tugas Ahli Parlimen Ketereh sebagai pengerusi
agensi itu dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa
serta-merta.
Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang
dipengerusikan Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob di ibu pejabat
agensi itu di sini.
Ia membolehkan audit dalaman MARA menyiasat beberapa perkara mengenai
agensi tersebut termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur
(UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).
Tengku Adnan berkata penggantungan itu juga sebagai prosedur siasatan dan belum terbukti Annuar melakukan kesalahan.
"Sebagai Ketua Penerangan Umno, beliau bekerja dengan kuat dan melaksanakan tugas dengan baik, tidak ada masalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan