PETALING JAYA: Seramai 23 mangsa bot karam di perairan Sabah termasuk 3
yang maut, tiba di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dengan
menaiki bot nelayan, awal pagi tadi.
Mereka tiba kira-kira jam 1.45 pagi diiringi bot PPM dengan 2 ambulans
Kementerian Kesihatan dan sebuah ambulans Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia (APM) serta 2 van menunggu di jeti sejak jam 8 malam.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.
Turut menunggu di jeti ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Seri Shahidan Kassim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam
Sekitar negeri, Datuk Pang Nyuk Ming; Konsul Jeneral Republik China di
Kota Kinabalu, Chen Peijie dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim
Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.
Terdahulu semalam, pihak berkuasa mengesahkan ketiga-tiga yang
terkorban adalah warga China walaupun spekulasi awal mengatakan seorang
daripadanya rakyat Malaysia.
Bot yang membawa 31 orang – 3 anak kapal Malaysia dan 28 pelancong
China – hilang selepas ia meninggalkan Jeti Tanjung Aru, Kota Kinabalu
menuju Pulau Mengalum pada pukul 9 pagi kelmarin, hari pertama Tahun
Baru Cina.
Ia dilaporkan hilang oleh agensi pelancongan apabila tidak tiba selepas
12 jam. Bot itu dipercayai pecah selepas dipukul ombak kuat ketika
cuaca buruk sebelum karam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan