Selasa, 24 Januari 2017

Fiksyen Sains Dalam Pembelian Senjata China


DOKTRIN baru pertahanan China yang diterbitkan pada 26 Mei 2015, antara lain, berkata (dengan izin):

“The world revolution in military affairs (RMA) is proceeding to a new stage. Long-range, precise, smart, stealthy and unmanned weapons and equipment are becoming increasingly sophisticated. Outer space and cyber space have become new commanding heights in strategic competition among all parties.”

(Revolusi hal ehwal ketenteraan dunia (RMA) sedang bergerak sebuah pentas baru. Jarak jauh, tepat, pintar, senyap-senyap dan senjata serta kelengkapan tanpa (kawalan) manusia menjadi semakin canggih. Angkasa lepas dan ruang siber telah menjadi menara kawalan baru dalam perlumbaan strategik oleh semua pihak.)

Izinkan saya membawa para pembahas dan pengunjung sekalian ke alam fiksyen sains (science fiction) yang lebih jelas (vivid) daripada dunia nyata (real world).

Apa kata, empat buah kapal operasi persisiran pantai (littoral mission ships/LMS) yang kita beli daripada China Komunis itu sebenarnya apa yang diceritakan di atas?

Contoh kapal perang China yang Malaysia beli


Apa kata ia adalah peralatan tentera jarak jauh yang tepat, pintar dan senyap-senyap (stealthy) milik Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China yang dikawal dari jarak jauh menggunakan satelit di angkasa lepas dan ruang siber?

Ya, empat buah kapal itu dibeli, dibayar dan dimiliki Malaysia serta dikendalikan secara fizikal oleh anggota keselamatan Malaysia tetapi mereka hanyalah robot yang menekan suis (switch) yang sebenarnya di kawal oleh operator siber Tentera Laut PLA.

Ini bukan pun fiksyen sains. Inilah kaedah yang digunakan oleh Amerika untuk mengebom sasaran di merata dunia menggunakan pesawat tanpa juruterbang (drone).

Pewasat drone Amerika boleh terbang beribu batu


Operator sibernya berada di bilik gerakan di ibu pejabat CIA di Langley, Virginia atau di salah sebuah pangkalan Tentera Amerika beribu batu jauhnya dari sasaran.

Apa kata kapal LMS yang Najib beli daripada China itu dipasang dua sistem kawalan (control systems) – satu palsu (dud) untuk dikawal oleh operator kita dan satu lagi tulen dikawal secara siber oleh operator Tentera Laut PLA?

Setiap pergerakan, maklumat dan tindakan LMS itu dikawal dari jarak jauh oleh Tentera Laut PLA yang bertindak sebagai kepal induk (mothership).

Najib dan Hishammudin setuju beli kapal perang littoral China


Apatah lagi China tentunya tidak mahu alat senjata kapal LMS itu digunakan ke atas Tentera Laut PLA yang sedang mengubah peranannya secara agresif daripada pertahanan perairan luar pantai (offshore waters defense) kepada perlindungan lautan terbuka (open seas protection).

Dalam bahasa yang mudah, Tentera Laut PLA tidak lagi mengehadkan operasinya kepada mempertahankan perairan China tetapi menguasai lautan luas.

Maka dalam konteks transformasi ini kita tidak perlu berasa hairan kalau terlihat kapal perang China berlabuh di Sabah, meronda Selat Melaka atau China membina pelabuhan di Laut China Selatan dan Lautan Hindi.

Dengan berselindung di sebalik rancangan seperti One Belt One Road (Satu Kawasan Satu Laluan) atau OBOR, China sedang memperluaskan kawalan ke atas lalu lintas laut, darat dan udara di Laut China Utara, Laut China Selatan dan Lautan Hindi, khususnya Selat Melaka yang sangat strategik itu.

Tidak menghairankan kalau China bersedia membina dan membiayai pelabuhan dalam (deep water port) berharga berbilion ringgit di Melaka untuk tujuan itu.
Kapal Tentera Laut China kerap kunjungi Malaysia


Hanya orang dungu atau yang menjual kedaulatan negara saja tidak menyedari atau berpura-pura tidak tahu mengapa China begitu bermurah hati “membantu” negara-negara jirannya membangunkan prasarana strategik seperti pembinaan pelabuhan, lebuh raya dan landasan kereta api.

Ini jugalah sebabnya China tiba-tiba begitu berminat dan bermurah hati menawarkan hutang beratus bilion ringgit bagi membina landasan kereta api, pelabuhan dan metropolis mega di Malaysia.

Tidak memeranjatkan langsung jika projek-projek ini dilaksanakan mengikut piawaian dan spesifikasi dwifungsi iaitu untuk kegunaan awam dan tentera.

Misalnya, pelabuhan akan dibina sebegitu rupa bagi menampung kapal dagang dan kapal perang China. Landasan kereta api boleh digunakan untuk pengangkutan awam atau untut mengangkut kelengkapan perang.

Peluru berpandu China guna kereta api


Pemastautin, pekerja, pelajar dan pelancong China pula boleh menjadi saluran mengutip maklumat strategik dan pengintipan.

Beberapa tahun sebelum Jepun menyerang Malaya pada tahun 1941 rakyat tempatan hairan dengan kehadiran ramai penjaja pinggan mangkuk dari Jepun yang masuk ke merata pelosok negeri menjual barang-barang yang orang kampung tak mampu.

Tiba-tiba mereka hilang. Tidak lama selepas itu askar Jepun menyerang dan menawan Tanah Melayu dengan hanya berbasikal. Mereka tahu lebih banyak mengenai jalan dan lorong untuk dilalui daripada askar British yang melarikan diri.

Ingatlah, selagi ada manusia selagi itu ada ancaman perang dan konflik, penaklukan dan penjajahan.

Kalah perang satu hal tetapi menyerahkan kedaulatan negara bulat-bulat kepada kuasa asing kerana berhutang untuk bayar hutang adalah perbuatan khianat dan penderhakaan terhadap negara.


Wallahuaklam.


Tiada ulasan: