shahbudindotcom
Selepas
isu BMF dilihat tidak bermanfaat dan seolah-olah menikam diri sendiri,
pasukan media dan laskar maya Najib Razak cuba pula menimbulkan kembali
isu kerugian AS$10 bilion dalam urusniaga forex oleh Bank Negara ketika
era Tun Mahathir Mohamad dahulu.
Abdul
Murad Khalid, bekas Penolong Gabenor Bank Negara yang sudah lama
tenggelam dan dilupakan, akhirnya dibawa kembali untuk ditemubual oleh
media arus perdana untuk bercakap mengenai kerugian tersebut.
Beliau malah meminta suatu penyiasatan mengenai kerugian itu dibuka semula dan sedia membantu jika dipanggil memberi keterangan.
Jika
kita masih ingat, Abdul Murad inilah juga yang sebelum ini pernah
mendakwa Anwar Ibrahim mengawal dana berjumlah RM3 bilion untuk
diagih-agihkan kepada rakan-rakan rapatnya ketika menjadi Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.
Bagaimanapun,
tiada apa-apa yang dapat dibuktikan mengenai dakwan tersebut,
sebaliknya pada tahun 2000, Abdul Murad yang dihukum denda RM500 ribu
atau penjara enam bulan setelah mengaku bersalah atas tuduhan gagal
mengisytiharkan saham dan 51 hartanah bernilai RM24 juta.
Tujuan
menimbulkan kembali isu-isu lama ini tidak lain ialah untuk menyerang
dan melemahkan Tun Mahathir kerana semuanya berlaku ketika era
kepimpinannya?
Apakah
bermanfaat bagi pasukan media Najib menimbulkan kembali isu-isu lama
itu dan selepas ini berapa banyak lagi kes lama akan terus diungkit?
Memang
benar isu BMF dan kerugian urusniaga forex berlaku ketika era
kepimpinan Tun Mahathir, tetapi harus diingat bahawa ketika itu beliau
tidak menjadi Menteri Kewangan. Bahkan dalam semua yang berlaku itu
tiada dakwaan kemasukan beribu-ribu juta wang ke dalam akaun
peribadinya.
Ia
lebih merupakan urusniaga yang rugi, bukan berlakunya sebarang kejadian
curi. Malah dalam kes BMF, beberapa tindakan telah pun diambil,
termasuk kertas putih dan hukuman penjara terhadap mereka yang terlibat,
manakala dalam urusniaga forex pula, ia segera dihentikan selepas
kerugian besar disedari.
Sudah
tentu ia berbeza dengan 1MDB. Bukan saja Najib sebagai Perdana Menteri,
tetapi juga menjadi Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat
dalam waktu yang sama. Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB pula,
tandatangan Najib diwajibkan bagi sebarang urusniaga pelaburan dan
komitmen kewangan sebagaimana yang tertulis dalam Artikel 117 M & A
syarikat pelaburan tersebut.
Tiada
sesiapa dihukum berkaitan 1MDB di dalam negara, meskipun di di luar
negara banyak tindakan sudah cukup memalukan kita, bahkan Laporan Audit
tidak boleh dibaca oleh sesiapa kerana diletakkan di bawah OSA.
Di
dalam akaun peribadi Najib pula diakui ada wang RM2,600 juta yang
sehingga ini jika kita imbas kembali, semua jawapannya berbeza-beza dan
tidak pernah sama.
Oleh
itu, jika pasukan media Najib merasakan dengan menimbulkan isu-isu lama
itu mampu melemahkan Tun Mahathir dan memesongkan kepercayaan rakyat
untuk menyokongnya, ia adalah suatu kesilapan besar.
Semakin
banyak isu-isu lama dibangkitkan, ia hanya menyebabkan ingatan
orangramai terhadap skandal 1MDB semakin kuat melekat di fikiran mereka.
Kenyataan
Najib yang cuba berlagak suci dengan memandang serius berhubung
kerugian urusniaga forex itu, sambil mahu meminta laporan daripada Bank
Negara mengenainya, di merata-rata tempat hanya menjadi bahan ketawa
ramai saja.
Rata-rata
menempelak kembali, jika Najib ingin memandang serius terhadap apa yang
berlaku dalam negara, skandal 1MDB jauh lebih mustahak dan perlu
diselesaikan dengan segera.
Lagi pun, ketika berlakunya isu kerugian urusniaga forex itu dan Najib berada dalam kabinet, tetapi apa yang dilakukannya?
Pernahkah beliau bersuara, memberi pandangan dan menegur apa-apa?
Secara
umumnya, Najib mesti sedar kelemahan dan kerosakan yang diakibatkan
oleh dirinya sudah terlalu parah dan mustahil untuk dipulihkan kembali.
Jika
pun beliau mampu menutupnya ketika berkuasa sekarang, ia akan lebih
membusuk bila kuasa tiada lagi dalam genggamannya nanti.
Kiranya
BN dapat ditewaskan, kerajaan baru pasti akan menyelongkar skandal 1MDB
itu secara habis-habisan, manakala pengganti Najib daripada UMNO pula
tidak mustahil akan menjadikannya sebagai senjata untuk menunjukkan
ketelusan dan bertujuan mengembalikan sokongan. Akhirnya, Najib tetap
menjadi mangsa atau dimangsakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan