KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang mencatatkan peningkatan setakat jam 8 pagi.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang,
Kolonel (PA) Zainal Yusoff, seramai 7,130 mangsa daripada 1,948 keluarga
ditempatkan di 114 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 6,728
mangsa malam tadi.
"Berdasarkan rekod kami, daerah Lipis kekal dengan 2,000 mangsa
daripada 563 keluarga dan 24 PPS. Ini diikuti daerah Temerloh dengan
1,996 mangsa daripada 502 keluarga.
"Jumlah mangsa banjir di daerah Jerantut menunjukkan sedikit penurunan
iaitu 1,078 mangsa daripada 345 keluarga berbanding 1,137 mangsa (360
keluarga) semalam," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Bagaimanapun keadaan banjir di Kuantan pulih sepenuhnya apabila semua
mangsa sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing lewat malam
tadi.
Zainal berkata, bagaimanapun jumlah mangsa banjir di daerah Rompin, Maran dan Bera menunjukkan peningkatan berbanding semalam.
"Bagi daerah Rompin, jumlah mangsa banjir sehingga jam 8 pagi tadi
ialah 1,033 orang daripada 292 keluarga berbanding 964 mangsa (269
keluarga) malam tadi.
"Begitu juga daerah Maran dengan jumlah terkini mangsa banjir ialah 362
orang (99 keluarga) berbanding 341 orang (93 keluarga) semalam. Kita
juga membuka 2 PPS baharu di daerah itu.
"Kami juga membuka satu PPS baharu di daerah Bera menjadikan 10 PPS
beroperasi di daerah berkenaan berikutan jumlah mangsa menunjukkan
peningkatan iaitu 417 mangsa daripada 87 keluarga (pagi tadi) berbanding
322 mangsa (62 keluarga) malam tadi," katanya.
Beliau berkata, keadaan banjir dan jumlah mangsa daerah Pekan dan Raub
tidak berubah iaitu di Pekan terdapat 196 mangsa (47 keluarga) dan Raub
dengan 39 mangsa daripada 12 keluarga masih ditempatkan di pusat
pemindahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan