Selasa, 31 Januari 2017

Pas salahkan DAP, PKR pecahkan pembangkang

 arif atan
 
Khairuddin Aman RazaliKhairuddin Aman Razali


Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menganggap DAP dan PKR memecah-belahkan Pakatan Rakyat iaitu gabungan pembangkang sebelum ini ketika pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2014 sebagai Menteri Besar Selangor.

Serangan terbaharu pemimpin Pas terhadap Pakatan Harapan itu ekoran dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mematuhi prinsip konsensus tidak bersetuju dengan pendirian DAP dan PKR.

"DAP dan PKRlah yang jelas bersalah memecah-belahkan PR (Pakatan Rakyat). Mereka menjadikan Presiden Pas sebagai alasan menutup kesalahan mereka.

"Sekarang, cerita lama tersebut diulang kembali dengan harapan orang ramai tidak cukup cerdik memahami permainan politik kotor mereka," kecam Khairuddin dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, DAP dan PKR tidak wajar meneruskan agenda menjatuhkan Khalid Ibrahim memandangkan tidak mencapai konsensus serta tidak hanya mencalonkan seorang pengganti sahaja.

"Tapi malangnya mereka (DAP dan PKR) melanggar prinsip konsensus tersebut. Mereka teruskan walaupun konsensus tidak dicapai. Sikap tidak mematuhi perjanjian inilah sebenarnya yang membawa kepada perpecahan PR. Selamanya mereka akan melanggar perjanjian," tegasnya.

Terus menyelar Kit Siang sebagai "menimbulkan lagi fitnah" terhadap Abdul Hadi, beliau menganggap Ahli Parlimen Gelang Patah itu keliru antara prinsip majoriti dan prinsip konsensus apabila menyatakan tidak bersetuju dengan majoriti bererti tidak konsesus.

"Bila Presiden Pas menentang usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid di Selangor melalui tuduhan tanpa bukti, bukan bermakna beliau menentang prinsip PR. (Menariknya, akhirnya mahkamah membuktikan tuduhan tersebut semuanya palsu dan fitnah).

"Bila Pas tidak bersetuju dengan satu nama sahaja sebagai calon MB (Menteri Besar) oleh PKR dan DAP, itu juga bukan menentang konsensus. Itu adalah hak ahli dalam prinsip konsensus. Tidak ada paksaan untuk mengikuti keputusan majoriti.

"Akhirnya DAP dan PKR terpaksa memohon ampun kepada Sultan Selangor kerana mengingkari arahan Baginda untuk menghantar sekurang-kurangnya dua nama, bukan hanya satu nama.

"Kedua-dua kes tersebut akhirnya membuktikan sikap Tuan Guru Presiden PAS adalah tepat. Akhirnya terbukti DAP dan PKR gopoh dan cuai dalam mengambil tindakan mereka sehingga terpaksa mengakui kesilapan dan memohon maaf," jelas Khairuddin lagi.

Tiada ulasan: