ULASAN-l Amat menghairankan apabila sesuatu isu sengaja dikelirukan apabila kita semua sedar sebenarnya adalah isu monopoli ekonomi dan kebergantungan melibatkan kedaulatan negara.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Najib Razak menyatakan "kita boleh menerima pelaburan dari negara orang berkulit putih tetapi apabila dari negara China mereka menyatakan kita mahu menjual kedaulatan negara.”
Orang buta pun boleh melihat yang perbuatan penjualan aset-aset harta strategik negara adalah untuk menyelamatkan kedudukan seseorang tertentu walaupun ia mengancam keselamatan dan kedaulatan Malaysia.
Sedarkah kita bahawa pelabuhan Kuantan, Melaka dan Bagan Datok akan diserahkan kepada pihak dari negara China sementara dipercayai pelabuhan di Johor Bharu, Kelang dan Pulau Pinang juga akan mengalami nasib yang sama.
Ini adalah monopoli dan kebergantungan yang amat besar kepada negara republik komunis China.
Projek keretapi Pantai Timur secara runding terus dengan kos RM55 billion, projek 1MDB - strategik Lapangan Terbang Tentera - Bandar Tun Razak dan beberapa projek janakuasa penting negara juga diberi kepada syarikat negara Cina.
Sebelum ini keputusan tuntutan kawasan perairan di Laut China Selatan oleh negara China yang ditolak oleh Tribunal Antarabangsa disambut dingin oleh Malaysia. Malahan penerimaan baik keputusan tersebut oleh rakan negara ASEAN lain tidak disokong oleh Malaysia.
Jawapan tak jelas
Sedarkah kita implikasi simpanan rizab minyak dan gas amat besar berada di Laut China Selatan dan ini akan menjejaskan tuntutan kita? Minyak Malaysia di laut makin berkurangan.
Soalan kehadiran kapal perang China di perairan Malaysia timur di Parlimen tahun lepas tidak diberi jawapan yang jelas.
Tahun ini lawatan kapal selam China di Kota Kinabalu menimbulkan lebih banyak tanda tanya dan negara India menyatakan kebimbangan mereka tentang perkembangan ini.
Sikap menerima apa saja dari negara China tanpa pertimbangan sewajarnya amat membimbangkan kita tentang keselamatan dan kedaulatan negara. Tiada isu perkauman di sini tetapi isu kedaulatan.
Kalau isu perkauman yang Najib ingin timbulkan, kenapa rakyat China dari negara komunis itu diberikan begitu banyak keistimewaan sementara rakyat Cina Malaysia yang lahir dan dibesarkan di negara ini didiskriminasikan dan dipandang serong oleh pihak kerajaan dan Umno?
Bukankah melalui Biro Tata Negara (BTN), kerajaan telah berpuluh-puluh tahun menanam dan menyebarkan kepercayaan perkauman betapa bahayanya Cina di Malaysia dan ancaman mereka bakal mengusai negara?
Kalau ini benar mengapa lebih ramai China negara komunis pula hendak dibawa masuk?
Tidak mungkin rakyat China negara komunis lebih setia dan boleh dipercayai berbanding rakyat Cina kelahiran Malaysia.
Ini lah propoganda rasis oleh kerajaan sendiri kepada rakyat Cina di Malaysia sementara China negara komunis boleh diterima begitu senang tanpa soal siasat.
Kerajaan di tuntut menarik balik segala propoganda BTN terhadap masyarakat Cina di Malaysia dan mengaku kepincangan sikap rasis terhadap mereka sebelum menerima negara China yang berpegang kukuh kepada doktrin komunis!
Jadi hiprokit
Mereka telah menganiayai berjuta-juta rakyat China etnik Islam di bahagian barat republik berkenaan kerana kepercayaan agama mereka.
Malaysia perlu bertegas dan meletak syarat umat Islam China mesti diberi keadilan sama seperti tuntutan kerajaan kepada Myanmar atas nasib orang Rohingya.
Jangan kita jadi hipokrit dengan BTN yang meracun fikiran orang Melayu bagi membenci kaum Cina di Malaysia sendiri kononnya mereka hendak memerintah Malaysia sementara kerajaan tunduk dan akur permintaan China yang menyeksa orang Islam di Provinsi Xiang.
Jangan kita menuntut Myanmar berlaku adil ke atas Rohingya sementara republik China Komunis yang menyeksa rakyat etnik Uighur beratus-ratus tahun tidak ditegur langsung.
Kita mesti belajar dari sejarah negara komunis Russia yang telah mengambil sebahagian dari Ukraine dan campur tangan isu dalaman Syria.
Russia juga telah mempengaruhi perpecahan Kesatuan Eropah – EU, dan juga keputusan pilihan raya Amerika Syarikat.
Negara Komunis China pula telah menguasai negara Tibet secara haram sejak 1950 dan sedang menjajah melalui ekonomi beberapa negara Afrika untuk simpanan minyaknya.
Negara China juga sedang menjejas perpaduan Asean apabila mempengaruhi Malaysia tidak menyokong keputusan Tribunal Antarabangsa yang menolak tuntutan kawasan Laut China Selatan oleh China.
Pengaruhi PRU14
Tidak mustahil China akan mempengaruhi “PRU14” untuk memenangkan Najib seperti Russia memenangkan Trump!
Kami menganggap isu negara China isu kebergantunggan dan monopoli keterlaluan yang merbahaya dan bukan isu perkauman. Tetapi jika Najib masih menganggap ia isu perkauman, beliau perlu menjawap beberapa soalan penting tentang peranan kerajaan serta program BTN selama ini.
Soalan pertama, jika dakwaan Umno dan BTN yang mendakwa selama ini bahawa masyarakat Cina tempatan adalah ancaman utama kepada pemerintahan Melayu benar, mengapakah kerajaan hari ini membuka pintu begitu luas dan mudah kepada negara China dan rakyatnya untuk monopoli perniagaan serta memasuki serta menduduki Malaysia?
Bukankah ini akan menambah lagi "ancaman" ke atas "ketuanan Melayu"?
Soalan kedua, atau adakah dakwaan Umno dan BTN selama ini yang ancaman rakyat Cina tempatan terhadap "ketuanan Melayu" tidak benar? Kerana itulah kemasukan perniagaan dan rakyat negara China dengan begitu banyak tidak merupakan ancaman kepada pemerintahan Melayu.
Kedua-dua senario tersebut di atas memerlukan kerajaan dan Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
Dalam senario pertama kerana "mengugat" kedudukan "ketuanan Melayu" dengan menambah ancaman keatas orang Melayu. Dalam senario kedua pula, kerana menipu orang Melayu selama ini dengan ugutan ancaman orang China yang kononnya berkomplot akan mengambil kuasa Melayu.
Saya mohon Najib memilih manakah jawapan yang betul. Dalam kedua-dua senario, beliau perlu mohon maaf kepada rakyat , terutamanya kepada orang Melayu. Rakyat menuggu jawapan Najib.
Raja Bahrin Shah adalah ahli parlimen Kuala Terengganu dan pemimpin AMANAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan