Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) cuba menonjolkan parti-parti
komponennya sebagai bersatu dengan mengadakan konvensyen kali pertama,
12 November depan, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shamsul
Anuar Nasarah.
Namun, ujarnya rakyat kali ini tidak akan tertipu lantaran parti-parti
dalam gagasan itu sering dilaporkan tidak bersefahaman dalam pelbagai
isu.
"Saya tidak nampak Pakatan Harapan boleh bersatu walaupun apa yang
mereka lakukan kerana ideologi berbeza dan matlamat yang tidak sama.
"Sudah tentu ideologi dan matlamat yang berbeza dan mempunyai
kepentingan antara satu sama lain. Sebarang usaha untuk melakukan
kesepakatan agak sukar," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, bukan sahaja isu-isu
kontroversi, pendirian bersabit siapa bakal perdana menteri PH pun
hingga kini masih gagal dicapai sesama mereka.
"Saya cabar mereka tidak payah bincang isu lain, isu bagaimana
menentukan calon Perdana Menteri sampai sekarang mereka tidak boleh
tonjolkan. Yang kecil begitu pun kalau kita cabar mereka supaya
bertanding atas satu lambang pun cukup.
"DAP, PKR dan Amanah bertanding dibawah satu lambang, itu pun sampai hari ini mereka tidak boleh lakukan," ujar beliau.
PH sebelum ini menyatakan kesediannya untuk bekerjasama dengan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional
(BN) pada pilihan raya akan datang.
Namun PH dan PPBM masih belum sepakat untuk memilih siapakah calon
perdana menteri, jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan di
Putrajaya kelak.
Malah PH sendiri menangguh pendirian mereka apabila ditanya perihal senarai Kabinet Bayangan gagasan itu.
"Matlamat dan niat mereka sebenarnya berbeza sebab itu buatlah
konvensyen pun saya tidak nampak perkara ini berlaku. Kalau ini pun
tidak boleh mereka lakukan bagaimana mereka boleh menawarkan sesuatu
yang lebih baik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Secara perbandingan kita lihat bagaimana BN yang dianggotai lebih 14
parti komponen mempunyai matlamat yang sama walapun mewakili kaum dan
sebagainya," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan