Khamis, 24 November 2016

Pindaan RUU 355 bertepatan dengan budaya politik matang dan sejahtera - Nik Abduh

Oleh Azizul Osman dan Wan Anis Ilyani Wan M, Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Langkah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang melakukan pindaan terhadap Usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, bertepatan dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diamalkan oleh parti itu kini. 
 
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, pindaan tersebut dilakukan selepas PAS mengambilkira pandangan dan kritikan mengenai RUU itu, tambahan ia memerlukan masa untuk semua golongan terutamanya bukan Islam untuk memamahi sepenuhnya pindaan berkenaan.
 
"Saya gembira walaupun Presiden PAS memilih untuk membuat pindaan tetapi saya kerana Speaker (Tan Sri Pandikar) dapat mengizinkan dan dalam makluman saya pindaan itu dibuat kerana Presiden mendengar pandangan daripada pelbagai pihak. 
 
"Usul pertama yang dibentangkan dulu lebih umum sifatnya tetapi dalam tempoh beberapa bulan perbahasan secara ilmiah dibuat diluar, ramai yang mengkritik bahawa sepatutnya dihuraikan dengan lebih panjang, walaupun pada pandangan kami bahawa umum itu adalah menepati kehendak undang-undang tetapi oleh kerana ada kritikan maka Hadi memilih untuk menerima kritikan tersebut dan menjelaskannya dengan lebih tepat," katanya di lobi Parlimen hari ini.
 
Semalam, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usul RUU itu  mengandungi pindaan terhadap had hukuman yang boleh dikenakan di bawah akta itu kelak.
 
Ujar Khairuddin, pindaan itu dibuat hasil daripada perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bangunan Parlimen, pada Selasa.
 
Pindaan RUU Akta 355 ini dibuat bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang selama ini amat terhad iaitu hukuman penjara maksimum hanya tiga tahun, denda maksimum RM5000 dan hukuman sebatan maksimum enam kali sahaja.
 
Melalui pindaan yang dibawa Hadi, jumlah hukuman itu mahu ditingkatkan menjadi - hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan hukuman sebatan maksimum 100 kali sebatan (syarie).
 
Hadi hari ini membentangkan kali kedua usul Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355, bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, namun memohon untuk menangguhkan penjelasannya pada sidang Parlimen, Mac tahun depan.
 
"Saya harap ini (penangguhan) boleh mengurangkan ktirikan tersebut dan ia akan dibahaskan nanti," jelas Nik Abduh.
 
Ditanya samada siri penerangan yang dibuat oleh PAS sudah menampakkan hasil, Ahli Parlimen Pasir Mas itu optimis bahawa PAS mampu untuk mendapatkan lebih sokongan di kalangan bukan Islam sepanjang tempoh penerangan berkenaan tidak lama lagi.
 
"Pemahaman itu sudah lama (dilakukan) cuma pindaan ini bukan baru, benda yang telah dibincangkan sebelum ini dan minta lebih spesifik maka dengan pindaan ini masa itu cukup berharga untuk dijelaskan lagi. Ia lebih menjelaskan daripada usul sebelum ini," katanya.
 
 

Tiada ulasan: