Satu pasangan ahli perniagaan terkemuka didakwa menipu lebih 200 pelabur dengan menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan kementerian kewangan.
Bendahari agung MIC S Vell Paari dalam satu sidang media hari ini mendedahkan rakaman audio 32 minit yang didakwa daripada perbualan antara lelaki dari pasangan berkenaan dan wakil-wakil syarikat pelaburan pertukaran asing.
Lelaki itu antara lain mendakwa yayasannya mempunyai kaitan dengan Kementerian Kewangan.
Vell Paari berkata pasangan itu, yang mengetuai sebuah yayasan kebajikan tempatan, bekerjasama dengan syarikat pelaburan pertukaran asing, kononnya untuk mendapatkan lesen perbankan.
Rancangannya adalah agar yayasan itu menjadi sebuah syarikat induk perniagaan.
Untuk mendapatkan lesen perbankan bagi yayasan berkenaan, ia perlu menunjukkan perolehan sebanyak RM50 juta.
Untuk tujuan itu, lelaki tersebut memberitahu kepada syarikat pelaburan pertukaran asing agar mengarahkan pelabur mendepositkan dana terus ke yayasan itu.
Syarikat berkenaan kemudian memasukkan RM5 juta ke yayasan itu pada Jun dan RM2.2 juta lagi dimasukkan secara berasingan oleh pelabur yang dikaitkan dengan syarikat itu.
Ini adalah untuk menunjukkan bahawa yayasan itu mempunyai kewangan yang kukuh dan pasangan itu berjanji untuk memulangkan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.2 juta.
Bagaimanapun, pada bulan lalu, mereka hanya memulangkan RM5 juta kepada syarikat dengan kira-kira RM2.2 juta belum dibayar kepada pelabur terbabit.
Sebagai seorang pemimpin MIC, Vell Paari berkata adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membersihkan nama perdana menteri dan isterinya kerana pasangan itu menggunakan nama pengerusi BN itu untuk faedah mereka.
Vell Paari juga mendakwa beliau diugut oleh pasangan itu apabila dia bertegas bahawa mereka perlu mengembalikan baki RM2.2 juta.
"Orang India telah ditipu, Orang India yang berpendapatan rendah. Saya tidak mempunyai apa-apa isu dengan mereka (pasangan itu) tetapi selepas saya mendapat tahu perkara ini, saya tidak boleh membiarkan ia berlalu begitu sahaja," kata Vell Paari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan