Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar dan Azizul Osman
KUALA LUMPUR: AMANAH menyuarakan kekecewaan terhadap Ahli Parlimen
Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertindak meminda tanpa
bahas usul Rang Undang-undang (RUU 355) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) Pindaan 2016 yang dibacakan buat kali kedua hari ini.
Menurut Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa, tindakan Hadi
meminda usul berkenaan menyebabkan proses untuk memperkasakan Mahkamah
Syariah kembali ke peringkat permulaan.
Beliau merujuk kepada usul RUU itu yang mengandungi pindaan terhadap had hukuman yang boleh dikenakan di bawah akta itu kelak.
Melalui pindaan yang dibawa Hadi, jumlah hukuman itu mahu ditingkatkan
menjadi - hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda maksimum RM100,000
dan hukuman sebatan maksimum 100 kali sebatan (syarie).
Justeru Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mencadangkan agar
satu jawatankuasa dibentuk di peringkat Dewan Rakyat bagi menilai
semula usul yang dibawa oleh Hadi agar kajian menyeluruh dapat dibuat
sebelum apa-apa keputusan diambil.
"Sebenarnya saya sebut dalam celahan saya, dulu apabila (Ahli
Parlimen) Marang bentang benda itu tergantung tidak ada bahas, bila
tergantung (masyarakat) di bawah ini jadi berpecah sebab masyarakat
punya pandangan dan persepsi pelbagai. Kebencian antara orang Islam dan
bukan Islam. Sekarang saya mengharapkan ada satu peringkat lagi (dalam
pindaan RUU 355) bila Marang bentang dengan pindaan, benda sama
berulang.
"Akhirnya kita akan ulang balik kitaran perpecahan dan permusuhan di
bawah itu. Sebab itu saya cadangkan satu idea buat jawatankuasa tapi
Speaker jawab jawatankuasa itu bukan kuasa dia, nanti bila sudah masuk
peringkat kementerian baru akan dibuat.
"Bagi saya benda ini boleh buat kalau tahu apa yang berlaku di bawah
ini. Beliau mesti ada satu usaha proaktif untuk buat jawatankuasa bagi
menangani isu yang timbul ekoran RUU 355," katanya merujuk kepada
permohonan menangguhkan usul RUU355 hari ini.
AMANAH sebelum ini mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas yang
dianggotai para ketua hakim mahkamah syariah dari setiap negeri,
profesional dan agamawan serta pihak berkuasa berwajib.
Jawatankuasa khas itu diberi tanggungjawab untuk menyelia langkah
pemerkasaan Mahkamah Syariah, termasuk meningkatkan kecekapan melalui
penajaman kehakiman para hakim dan kakitangan Mahkamah Syariah.
Hadi hari ini memohon untuk menangguhkan pembentangan usul RUU355 bagi
memberi laluan kali kedua kepada masyarakat khususnya bukan Islam untuk
lebih memahami pindaan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi AMANAH Hanipa Maidin yang
juga Ahli Parlimen Sepang pula menjangkakan bahawa pindaan RUU355 ini
tidak akan berjaya untuk dibentangkan berdasarkan kepada penerimaan
negatif oleh Ahli-ahli Parlimen bukan Islam dan parti bukan Islam di
negara ini.
"Kami (AMANAH) jangka akan ada perbahasan tapi saya tidak nampak RUU
ini akan diteruskan di masa hadapan. Ia akan disimpan oleh (Ahli
Parlimen) Marang di dalam poket dia," katanya di lobi Parlimen.
Usul untuk meminda RUU355 hari ini adalah kali kedua dibawa Hadi
selepas kali pertama dibentangkan pada 26 Jun lalu dan membuat
penangguhan atas alasan sama iaitu masih ramai bukan Islam tidak
memahami cadangan pindaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan