Selasa, 1 November 2016

[KEMASKINI] PH adakan konvensyen November depan untuk tonjol 'kesepakatan'

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) cuba menonjolkan parti-parti komponennya sebagai bersatu dengan mengadakan konvensyen kali pertama, 12 November depan, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
 
Namun, ujarnya rakyat kali ini tidak akan tertipu lantaran parti-parti dalam gagasan itu sering dilaporkan tidak bersefahaman dalam pelbagai isu.   
 
"Saya tidak nampak Pakatan Harapan boleh bersatu walaupun apa yang mereka lakukan kerana ideologi berbeza dan matlamat yang tidak sama. 
 
"Sudah tentu ideologi dan matlamat yang berbeza dan mempunyai kepentingan antara satu sama lain. Sebarang usaha untuk melakukan kesepakatan agak sukar," katanya di lobi Parlimen hari ini.
 
Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, bukan sahaja isu-isu kontroversi, pendirian bersabit siapa bakal perdana menteri PH pun hingga kini masih gagal dicapai sesama mereka.
 
"Saya cabar mereka tidak payah bincang isu lain, isu bagaimana menentukan calon Perdana Menteri sampai sekarang mereka tidak boleh tonjolkan. Yang kecil begitu pun kalau kita cabar mereka supaya bertanding atas satu lambang pun cukup. 
 
"DAP, PKR dan Amanah bertanding dibawah satu lambang, itu pun sampai hari ini mereka tidak boleh lakukan," ujar beliau.
 
PH sebelum ini menyatakan kesediannya untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
 
Namun PH dan PPBM masih belum sepakat untuk memilih siapakah calon perdana menteri, jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya kelak.
 
Malah PH sendiri menangguh pendirian mereka apabila ditanya perihal senarai Kabinet Bayangan gagasan itu. 
 
"Matlamat dan niat mereka sebenarnya berbeza sebab itu buatlah konvensyen pun saya tidak nampak perkara ini berlaku. Kalau ini pun tidak boleh mereka lakukan bagaimana mereka boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN). 
 
"Secara perbandingan kita lihat bagaimana BN yang dianggotai lebih 14 parti komponen mempunyai matlamat yang sama walapun mewakili kaum dan sebagainya," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.