Selasa, 22 November 2016

Maria Chin fail habeas corpus pohon dibebas serta merta daripada tahanan

ASTRO AWANI


Maria Chin fail habeas corpus pohon dibebas serta merta daripada tahanan
Maria turut memohon perintah agar dirinya dibawa ke mahkamah sepanjang perbicaraan permohonan itu dan supaya beliau dibebaskan serta-merta dan tidak ditangkap atau ditahan semula selepas pembebasannya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), hari ini memfailkan permohonan habeas corpus supaya beliau dibebaskan serta-merta.

Permohonan habeas corpus itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguam mewakilinya Datuk S. Ambiga menerusi Tetuan Daim & Gamany.

Maria, 60, selaku pemohon menamakan Ketua Unit Siasatan Jabatan Jenayah Terkelas di Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman Superintenden Tham Lai Kuan, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

BACA: Ahli Parlimen pembangkang desak pembebasan Maria Chin

BACA: Bersih 5 tetap berlangsung tanpa kehadiran Maria

BACA:  Polis serbu pejabat Bersih sehari sebelum Bersih 5

Beliau memohon perintah agar dirinya dibawa ke mahkamah sepanjang perbicaraan permohonan itu dan supaya beliau dibebaskan serta-merta dan tidak ditangkap atau ditahan semula selepas pembebasannya.

Maria juga memohon perintah agar tidak dikenakan sebarang sekatan di bawah SOSMA atau perintah lain.

Anak sulung Maria, Azumin Mohamad Yunus, 23, dalam afidavit sokongannya, berkata penahanan ibunya di bawah SOSMA adalah tidak sah, melanggar undang-undang dan bersifat mala fide atas alasan responden tidak menyatakan sebab pemohon ditahan di bawah akta berkenaan.

Azumin berkata ibunya ditangkap ketika beliau berada di pejabatnya di Blok A, Pusat Perniagaan 8 Avenue, Petaling Jaya, pada 3.10 petang 18 Nov, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu lepas.
Beliau yang hadir di mahkamah berkata ibunya tidak mengetahui lokasi sebenar tempat tahanannya kerana matanya ditutup setiap kali dibawa keluar dari tempat tahanan itu.

Katanya beliau ada melawat ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Ahad lepas.

Maria masih ditahan sehingga hari ini berhubung penganjuran perhimpunan Bersih 5 di sini pada Sabtu lalu. -- Bernama
 
 

Tiada ulasan: