Selasa, 29 November 2016

Tak hadir Bersih 5 adalah keputusan

Oleh SUBKY LATIF 





APABILA PAS membuat keputusan tidak sertai Bersih lima, atas apa sebab jua, ia adalah keputusan parti yang wajib dipatuhi oleh setiap penyokong terutama yang menjadi ahli.   
Tidak perlu dibuat arahan jangan pergi, memadai memaklumkan PAS memutuskan buat yang kelima ini PAS tidak serta.

Jika ia diikuti dengan arahan, ia adalah sekadar hendak mengingatkan ahli parti itu bukan saja wajar bahkan wajib mematuhi keputusan parti. Keputusan parti adalah dasar parti.
   
Telah disebutkan dalam perlembagaan dasar parti ialah Islam, apa yang ada dalam perlembagaan, apa yang diputuskan oleh muktamar dan oleh mesyuarat parti dari semasa ke semasa, apa yang disampaikan oleh Presiden dan anggota Dewan Harian kecuali Bendahari. Cakap bendahari tidak dikira cakap rasmi parti.
    
Syarat seorang yang hendak menjadi ahli parti ialah setuju dan patuh kepada dasar dan keputusan parti dari semasa ke semasa. Apabila ada yang tidak patuh kepada keputusan bererti dia telah melanggar dasar yang diterimanya pada masa mengisi borang keahlian parti.
    
Parti wajar memantau apakah ahli mematuhi keputusan parti, tetapi ahli itu  sendiri wajib memestikan dia patuh kepada keputusan. Ahli yang baik boleh tidak setuju dengan keputusan tetapi dia tidak membantahnya. Apabila dia tidak patuh, dia telah tidak menjadi ahli yang baik lagi.
   
Tidak sertai Bersih 5 boleh ahli takwil tetapi dia tidak boleh tidak mematuhinya. Kita boleh beri pandangan berbeza sebelum keputusan dibuat tetapi setelah keputsuan dibuat wajib patuh. Jika tidak puas hati simpan dalam hati.
  
Itulah namanya ahli yang berdisiplin. Disiplin dan kepatuhan iu adalah prasyarat kejayaan dan wibawa parti.
    
Kalau mahu PAS menguasai Putrajaya, penyokong parti mesti disiplinkan dirinya. Ada cerita tentang satu jihad tidak berjaya. Setelah disiasat didapati ada seorang soldadu tak gosok gigi. Maka soldadu itu dikeluar dari pertempuran. Perang itu dimenangi mujahidin. Demikianlah pentingnya kesetiaan dan disiplin.
    
Mungkin ahli memikirkan dia berjuang di medan demokrasi. Justeru demokrasi itu bebas menentukan sikap, ahli tak perlu patuh kepada keputusan yang  tidak disukainya. Kalau Umno dan DAP sebagai parti sekular menekankan pentingnya kepatuhan dan disiplin, PAS sebagai jamaah Islam tentulah tidak berakhlak meremehkan kepatuhan.
   
Keputusan kadang pahit untuk ditelan, tetapi jadam yang pahit itu adalah ubat.
   
Maka yang perlu bagi PAS memastikan ahli patuh dan berdisiplin. Bila disiplin ada, memadai PAS umumkan tidak sertai Bersih 5 tanpa arahan penyokong tahu kewajipannya. Mengapa PAS putuskan demikian, maka penyokong boleh dapatkan penjelasan mengikut peruntukan yang ditentukan oleh parti.
    
Bukan demo Bersih sebelum ini tiada kebaikan langsung. Antara kesannya BN hilang undi popular dalam PRU13. Didakwat jari setiap pengundi. Berturut-turut BN hilang majoriti dua pertiga. Ada kesannya, tetapi PAS tentu ada hikmah dan hujah politik ia tidak serta kali ini.
   
Sokongan PAS tidak diharga pembangkang. Antaranya mengira pembangkang boleh menang tanpa PAS. Justerunya digalakkan gantian PAS dalam pakatan pembangkang. Maka PAS mahu mengetahui ia berharga atau tidak dan lebih penting memastikan ia ada harga diri.
    
Mungkin juga ketika yang sama ia mencari atau ada alternatif lain menawan Putrajaya selain unjukrasa. Ke Putrajaya bukan satu hala saja. Banyak hala. Yang tidak disertai Bersih 5 adalah strategi. Strategi boleh berubah


Tiada ulasan: