Khamis, 24 November 2016

Pinda RUU355: Tiba masa PAS tunjuk kekuatan sebenar - IKATAN

Oleh Azizul Osman dan Wan Anis Ilyani Wan M, Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk PAS menunjukkan kekuatan sebenar kepada musuh-musuh politiknya berhubung pindaan Rang Undang-undang (RUU 355) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016.
 
Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil berkata, PAS membuktikan parti itu tidak dibuli oleh Barisan Nasional (BN)  sebagaimana dakwaan sesetengah pihak, biarpun diberikan peluang di saat-saat akhir oleh kerajaan.
 
"PAS adalah parti besar dan antara dua parti tunjang negara jadi ia masanya untuk PAS untuk tunjukkan kekuatan.
 
"Tapi ini mungkin satu bukti bahawa PAS ini mainkan politik matang dan sejahtera di mana lebih lembut di saat ramai yang tidak setuju. Tiada masalah PAS bagi masa dan buat penerangan supaya lebih ramai faham dan akan sokong," katanya ketika membuat lawatan di Dewan Rakyat hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berjaya membentangkan pindaan usul Akta 355 di Dewan Rakyat buat kali kedua hari ini.
 
Jelasnya apa yang dibentangkan oleh Hadi hari ini hanya untuk memperkukuhkan usul yang dibawa oleh beliau pada 26 Jun lalu dengan menambah had hukuman penjara daripada 3 tahun kepada 30 tahun maksimun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan kepada maksimum 100 sebatan Syarie.
 
"Pindaan itu hanya untuk memperjelaskan apa yang beliau telah bentang dulu. Dalam bulan Mac depan akan beri hujah dalam waktu itu semua orang yang tidak berniat baik itu boleh lihat balik kerana pindaan itu tidak ada apa-apa hanya untuk tingkatkan hukuman untuk pesalah supaya lebih munasabah," katanya.
 
Hadi membuat pindaan itu hasil daripada perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bangunan Parlimen, pada Selasa.
 
Perjumpaan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Terdahulu di dalam Dewan Rakyat, Hadi memohon penangguhan memandangkan masih ramai ahli Parlimen sama ada Islam ataupun bukan Islam malah individu perseorangan dan sebilangan masyarakat yang tidak memahami mengapa RUU itu perlu disokong.
 
Justeru kata Kadir, PAS masih mempunyai masa untuk memberi penerangan dan kefahaman kepada pihak yang berkenaan.
 
"Perasaan perkauman ini sudah nampak mula merosot kita nampak mundur ke belakang. Jadi saya ingat dalam masa tiga bulan ini kita dapat berjumpa dengan pemimpin seperti MCA,MIC dan Gerakan. Mereka (parti) ini yang bertangungjawab dalam menggubal undang-undang pada waktu dulu. Jadi jangan mereka cuba nak buat lebih baik dengan DAP. 
 
"Saya rasa semua orang bukan Islam pun kalau faham dia akan undi (terima), jadi kita tunda hingga bulan Mac kita ada tiga bulan untuk yakinkan mereka," katanya.
 
 

Tiada ulasan: