Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Usul keempat yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri
Pandikar Amin Mulia untuk memperkasakan Parlimen bukannya ditolak tetapi
ditangguhkan, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Azalina Othman Said.
Usul keempat itu adalah penubuhan Jawatankuasa Pemilihan yang
dianggotai (wakil rakyat) BN dan pembangkang untuk membincang dan
meneliti rang undang-undang (RUU).
"Jawatankuasa itu bukan ditolak tetapi ditangguhkan, saya selaku
menteri yang bertanggungjawab telah mengadakan lawatan ke Australia dan
Kanada bagi mengkaji dan membuat perbandingan berhubung penubuhan
Jawatankuasa Pemilihan.
"Saya juga dijangka akan ke United Kingdom bagi tujuan yang sama," ujarnya menerusi emel kepada Antarapos.
Pandikar sebelum ini mengejutkan banyak pihak selepas mengumumkan
peletakan jawatannya sebagai speaker namun menarik balik surat rasminya
selepas yakin dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
yang bersetuju untuk melakukan pemerkasaan Parlimen.
Azalina dalam reaksinya menyatakan penghargaannya kepada Pandikar
kerana mengilhamkan reformasi dan menjadi speaker yang berkesan dalam
menaiktaraf mutu dan kualiti Dewan Rakyat.
Ia berikutan tindakan Pandikar mengusulkan empat cadangan untuk
menambahbaik institusi itu agar tidak lagi diperlekehkan mana-mana pihak
dan dilihat bebas daripada campurtangan kerajaan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan meluluskan tiga daripada empat usul yang dikemukakan Pandikar.
Usul berkenaan adalah Pindaan bersabit pertanyaan-pertanyaan jawab
lisan dipercayai membabitkan tambahan 30 minit diberikan kepada
menteri-menteri bagi menjawab soalan-soalan sesama ahli Parlimen.
Selain itu, pewujudan Kamar Khas (Special Chamber) iaitu penubuhan Dewan kedua (atau) satu Parlimen mini.
Pandikar sebelum ini memberitahu pewujudan kamar ini penting bagi
membolehkan ahli Parlimen mengemukakan isu yang tertakluk di bawah
Peraturan Mesyuarat Perkara 18 bagi mengelakkan pembaziran masa dan
setia persoalan (yang dikemukakan) dijawab.
Kerajaan juga meluluskan usul untuk mewujudkan Waktu
Pertanyaan-Pertanyaan Menteri merujuk kepada tempoh masa untuk ahli
Parlimen mengemukakan soalan bagi sesi jawapan lisan yang sebelum ini
diperuntukan 10 hari telah dilanjut kepada 14 hari.
"Kerajaan dari dahulu begitu komited untuk menambah baik perjalanan
Parlimen, sebab itu kita menyokong Reformasi Parlimen tersebut.
"Kerjasama antara kerajaan dan pembangkang juga sudah berlaku seperti
dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Dewan,
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan lain-lain," kata Azalina.
Azalina dalam pada itu menyatakan beliau berpuas hati dengan standart perbahasan di Parlimen buat masa ini.
"Setakat ini perbahasan berjalan dengan baik. Bagaimanapun, adakalanya
saya sedikit kesal apabila ada diantara ahli-ahli Parlimen yang salah
guna ruang perbahasan dengan membuat serangan-serangan yang tidak
berasas.
"Reformasi Parlimen sudah bermula pada penggal yang lalu dengan
memasukkan beberapa elemen baru yang mana memberi lebih banyak ruang
untuk ahli-ahli parlimen membawa isu-isu rakyat. Bagaimanapun saya
berharap ruang itu digunakan dengan baik supaya tidak membazir masa,"
ujarnya.
Azalina dilantik menjadi menteri yang menyelia perjalanan Dewan Rakyat pada Julai 2015.
Terdahulu, Azalina memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2004
hingga 2008 dan Menteri Pelancongan pada 2008 hingga awal 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan