Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Jika PAS tidak berhati-hati dalam usaha mendekati Umno-BN
parti itu boleh kehilangan sokongan penyokongnya di kemudian hari,
demikian kata Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata langkah PAS berbaik-baik
dengan Umno-BN mungkin akan memberikan kesan yang tidak diduga kepada
parti itu.
"PAS kena berhati-hati supaya masyarakat tidak akan pandang ini mahu
kerjasama atau ada agenda lain. Jadi pandangan orang bahawa PAS
cenderung kepada Umno-BN tidak dapat dielakkan kerana ada
kenyataan-kenyataan begitu," katanya.
Bercakap kepada Antarapos, Mohd Azmi atau dikenali dengan panggilan
Cikgu Azmi berkata, kepimpinan PAS terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi
Awang seharusnya bijak membuat percaturan demi survival parti seperti
'menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak
berselerak'.
Jelasnya segala kenyataan yang dibawa Hadi sebelum ini mencerminkan
bahawa parti itu mahu kembali kepada Umno-BN setelah bertindak
meninggalkan Pakatan Rakyat tahun lalu.
"Percaturan politik ini barangkali orang politik lebih tahu macam mana,
apabila buat kenyataan begini kesannya bagaimana. Saya kira mereka
(PAS) kena bijak untuk tidak sampai mengelirukan dan menjadikan
masyarakat bebal dengan politik. Masyarakat letih dengan kenyataan
begini," katanya lagi.
Sebelum ini Hadi berkata PAS kini menggunapakai pendekatan budaya
politik matang dan sejahtera dalam memperjuangkan politik Islam.
Hadi juga pernah sepentas dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia tahun lalu dengan pakaian
sedondon yang dilihat sebagai bibit-bibit permulaan kepada kerjasama
antara PAS dan Umno-BN.
Kemesraan ini boleh dilihat dari dua sisi, saya kira pembangkang lain
boleh buat begitu. Sejak dulu tidaklah sampai mereka tidak mahu hadir.
Yang lebih penting dari segi kenyataan yang menyebabkan masyarakat
tafsir, dengan PAS menjadi penasihat, tidak lagi mahu menyerang (Umno
BN).
"Kenyataan ini yang menyebabkan PAS sudah lembut dan mirip (mesra)
kepada Umno-BN, kenyataan itu harus ditunjukkan dengan lebih konsisten,"
dakwa Cikgu Azmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan