Ahad, 3 Julai 2016

Sultan Johor: Saya berat hati, terasa amat sedih

Sultan Johor: Saya berat hati, terasa amat sedih
Gambar kenangan Sultan Ibrahim bersama Almarhum anakanda baginda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil.
 
 
JOHOR BAHRU – “Saya tahu bagaimana pilunya kehilangan seorang anak. Saya tidak ingin ibu bapa lain merasakan kesedihan yang saya lalui.” Demikian luah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di laman Facebook rasmi miliknya, semalam.

Sultan Ibrahim yang merupakan Penaung Diraja Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) bertitah, pihaknya akan terus membantu pesakit bawah yayasan sekali gus memastikan harapan Almarhum puteranya, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil yang mangkat akibat kanser 5 Disember lalu, terlaksana.

“Yayasan ini sangat dekat di hati kami. Saya berhasrat untuk memastikan harapan Almarhum anak saya untuk membantu pesakit kanser dihormati dan dilaksanakan.

“Esok (hari ini), saya dan putera saya akan menziarahi makam nenek moyang kami dan juga kerabat yang baru meninggalkan kami. Saya berasa berat hati dan teramat sedih kerana salah satunya adalah makam Almarhum Tunku Laksamana Johor,” titahnya.

Baginda bertitah, walaupun terasa pedih melihat makam Almarhum anakandanya itu, namun Baginda akan sentiasa ingat hasrat Almarhum untuk membantu orang lain dan memberi sokongan kepada pesakit kanser.

“Putera saya akan meneruskan apa yang Almarhum telah lakukan. Mereka akan terus melawat pesakit kanser. Saya berazam pastikan warisan Almarhum putera saya terus hidup, dan beri bantuan kepada seramai mungkin,” titahnya.

Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor telah mula beroperasi walaupun akan dilancarkan hanya pada awal Ogos selepas didaftarkan awal tahun ini dengan dana terkumpul lebih dari RM8 juta.

Yayasan itu bekerjasama dengan Yayasan Zarith Sofiah bertujuan menangani dua isu yang dekat di hati keluarga Diraja Johor iaitu menyedia dan menguruskan rawatan kanser serta beri bantuan pembelajaran kepada mereka yang mempunyai masalah kewangan.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah adalah Pengerusi Terhormat manakala ahli lembaga yayasan terdiri daripada Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.



Tiada ulasan: