Sabtu, 2 Julai 2016

Masjidil Haram Sesak Pada Malam Kemuncak Ramadan

Oleh: RAIHANAH ABDULLAH 
 
 
 
 
MAKKAH: Lebih tiga juta umat Islam membanjiri Masjidil Haram pada malam 27 Ramadan yang disifatkan sebagai  kemuncak ibadat di Tanah Suci pada bulan mulia ini.

Hampir setiap ceruk dan sudut di laluan masuk Masjidil Haram dipenuhi jemaah tempatan dan luar negara.

Semua merebut peluang untuk mengikuti solat terawih dan qiamulail pada Jumaat malam. Imam Sheikh Abdul Rahman Sudais dan Bandar Balila mengimamkan qiamulail dan diakhiri dengan doa qunut yang menusuk hati.

Sebahagian besar jemaah yang berhimpun dan menghidupkan  10 malam terakhir di Tanah Suci Makkah adalah dari negara Arab, Mesir, Maghribi, Turki, Pakistan, India, Sudan dan Nigeria.



Pada malam 27 Ramadan juga ramai yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan ibadat umrah, bersedekah dan melakukan pelbagai amalan sepanjang hari terutama selepas solat Jumaat.

Sesudah solat Asar, ramai yang mula bersedekah di kaki lima hotel dan berhampiran kawasan masjid.

Usai solat Maghrib, kawasan di dataran Kaabah dipenuhi umat Islam yang menunaikan tawaf umrah dan sunat.

Aras dua kawasan tawaf di dalam masjid turut dipenuhi jemaah bertawaf. Begitu juga suasana di bukit Safa dan Marwah yang dibanjiri jemaah untuk menyempurnakan ibadat umrah.



Secara kebetulan malam 27 Ramadan pada Jumaat sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas yang melampau di sekitar laluan menuju ke masjid.

Masjidil Haram mula menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

Malah, kawasan luar masjid , kaki lima hotel , lobi hotel dan semua tempat beli belah turut menjadi ruang solat berjemaah .

Tiada ulasan: