RANTAU PANJANG – Siapa tak terkejut apabila pengacara majlis bertanyakan soalan pelik: “Siapa di kalangan hadirin bukan beragama Islam?”, sedangkan semua wanita yang hadir bertudung!
Namun ternyata dari puluhan wanita yang hadir dalam majlis tersebut, lebih kurang lima wanita mengangkat tangan.
Rupanya mereka adalah masyarakat Siam Kelantan yang tinggal di Kampung Padang Nyior Rantau Panjang.
Berbaju kurung berkain sarung mungkin perkara biasa di sesetengah kawasan seluruh negara, namun agak unik bagi golongan wanita di sini apabila lebih gemar menutup aurat biarpun bukan beragama Islam.
Selesa tutup aurat
“Ish... Malulah kalau tak pakai tudung, sebab semua orang kampung pakai tudung,” kata warga emas, Mek Un Cha Tek, 75.
Mek Un berkata, golongan wanita di kampung itu, lebih gemar mengenakan baju kebangsaan manakala sekiranya tidak bekerja, golongan lelaki lebih selesa mengenakan kain pelekat sepanjang masa.
Menurutnya, dia lebih selesa mengenakan tudung sekiranya bertandang ke mana-mana majlis rasmi mahupun menziarahi rakan sekampung.
“Kalau ada orang datang ke rumah lebih-lebih lagi bukan muhrim, saya cepat-cepat ambil tudung.
“Rakan-rakan saya juga kebanyakannya beragama Islam maka saya perlu menghormati mereka dengan menutup aurat,” katanya.
Selain itu Mek Un berkata, perkongsian budaya itu turut mempengaruhi kedua ibu bapanya, ketika memberi nama anak-anak selepas dilahirkan.
Disebabkan perkara itu katanya, dia dikenali sebagai Mek Un, sesuai dengan jolokan ‘mek’ merujuk kepada anak dara Kelantan.
Rambang mata tengok fesyen tudung
Bukan sahaja golongan warga emas, malah minat yang sama turut dikongsi golongan muda di kampung berkenaan.
Penduduk, Wanna Along, 47, berkata, dia rambang mata setiap kali membeli belah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang terutama melibatkan kedai menjual kain tudung.
Menurutnya, anak-anak dan sepupunya gemar berkongsi gambar fesyen tudung terkini yang dijual secara online.
“Dulu saya suka beli tudung Ariani tapi sekarang saya lebih suka beli selendang instant kerana senang digosok dan mudah dipakai.
“Lebih menarik jika tudung atau selendang itu dihiasi manik dan labuci. Saya rasa kalau hari raya, mungkin saya berhias melebihi rakan-rakan Melayu lain,” katanya.
Selain itu, Mek Un berkata, dia turut menggunakan tudung ketika beribadat di tokong Siam.
Katanya, imej melambangkan kesucian seseorang wanita, maka dia mahu menghadap tuhan dengan berpakaian tidak menjolok mata.
Perpaduan menerusi budaya
Sementara itu, penduduk, Ghazali Ismail, 70 berkata, penduduk tidak pandang serung jika rakan-rakan Siam Kelantan tidak mengenakan tudung.
Namun katanya, budaya itu bukan sahaja memberi gambaran wanita Kelantan menjaga adab malah imej sebagai wanita yang tinggi budi pekerti.
“Mereka begitu menjaga adab ketika bertemu dengan rakan-rakan Melayu, sebab itulah hubungan Melayu dan Siam Kelantan di sini sangat erat.
“Kami menjaga hati masing-masing dan sedih sekiranya bersikap kurang sopan atau terkasar bahasa di antara satu sama lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan