Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan semasa di Turki, Wisma Putra turut membuka talian 24 jam, 03-88874570.
"Setakat ini kerajaan memang tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan ke Turki tetapi saya minta mereka yang mahu ke sana agar hubungi Wisma Putra bagi mengetahui perkembangan semasa di negara berkenaan.
"Selain itu, saya minta orang ramai atau pelancong Malaysia yang berada di sana agar menghubungi Wisma Putra atau kedutaan kita di Turki bagi memaklumkan mereka berada di sana supaya sebarang tindakan boleh di ambil jika berlaku apa-apa," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Reezal Merican berkata pihak kementerian akan memantau situasi di negara itu secara berterusan dan memaklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau menetap di luar negara agar berdaftar dengan Kedutaan Malaysia bagi memudahkan bantuan disalurkan jika berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Katanya langkah itu juga perlu untuk memudahkan kementerian mengetahui kewujudan rakyat Malaysia di luar negara.
"Kalau tidak mendaftar secara datang terus ke pejabat, boleh mendaftar secara dalam talian di laman web kementerian atau hubungi sahaja Wisma Putra.
Jika apa-apa berlaku di negara luar, kami pihak kementerian boleh segera hubungi keluarga mereka di sini dan bantuan dapat disalurkan segera," katanya.-- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan