Azeman Ariffin
Rakyat Malaysia dan Singapura yang memasuki Indonesia bagi sebarang
tujuan akan dikenakan pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh secara
rawak tidak lama lagi.
Syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia, PT Angkasa Pura II
dalam satu kenyataan media yang dipetik oleh media-media tempatan
menyebut pengawasan dan pemeriksaan ketat itu bagi memastikan rakyat
dari kedua-dua buah negara itu yang memasuki Indonesia tidak membawa
barangan terlarang terutamanya dadah.
Direktor Utama PT Angkasa Pura II Budi Karya Sumadi berkata tindakan
itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu
membabitkan rakyat dari kedua-dua buah negara berkenaan.
"Dalam diskusi kami dengan Kementerian Perhubungan, ternyata banyak
hal yang tidak diinginkan masuk ke Indonesia dari dua negara terdekat,
yakni Singapura dan Malaysia. Oleh kerana itu, Menteri akan menyetujui
'random check-in', dari pesawat penumpang dua tujuan itu," katanya.
Beliau berkata pihaknya menunggu surat rasmi arahan dari Kementerian
Perhubungan untuk menguatkuasakan peraturan baharu itu terhadap rakyat
atau penumpang pesawat dari kedua-ddua buah negara berkenaan.
Budi berkata pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura di lapangan
terbang akan dipantau oleh pasukan peronda khas yang tidak memakai
seragam dan mereka akan menahan sesiapa sahaja yang mencurigakan untuk
pemeriksaan secara tertutup.
Sebelum itu, Menteri Perhubungan Ignasius Jonan dalam satu kenyataan
baru-baru ini mengarahkan pihak berkuasa di lapangan terbang membuat
pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat asing yang memasuki
Indonesia.
Katanya pemeriksaan secara rawak itu perlu dilakukan ekoran terdapat
banyak kes penyeludupan dadah ke negara itu berlaku melalui jalan udara.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan