Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
SUNGAI BESAR: Bermula dengan hanya menjual kuah pecal, kini pasangan
Punari Salleh dan Mastura Senon mampu berbangga dengan berdiri megahnya
MHP Enterprise yang menjadi pusat sehenti bagi pengusaha industri kecil
dan sederhana (IKS).
Perniagaan yang pada awalnya untuk mencari sumber menyara kehidupan
seharian keluarga akhirnya terus berkembang sehingga generasi kedua.
Kini,
MHP Enteprise diterajui anak sulung pasangan berkenaan, Musleha Punari
dengan membawa pelbagai idea baru bagi mengekalkan nama jenama yang
dibawa bapanya itu.
"Pada permulaannya kita mula dengan penjualan kuah pecal yang diberi
nama Masri. Kemudian apabila ayah mula menjualnya di pasar tani, pihak
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) nampak bahawa produk itu
boleh diketengahkan. Pada permulaannya pembungkusannya ringkas sahaja.
Kemudian FAMA sekali lagi merasakan produk itu semua orang boleh makan.
"FAMA membantu kami dari segi penjenamaan dan pembungkusan yang
menarik. Kami mempunyai jenama Masri untuk pihak kami sendiri dan jenama
Agromas yang dipunyai FAMA. Dari situ kami berpeluang produk ini untuk
dipasarkan dan FAMA kemudiannya mengedarkan ke kawasan-kawasan yang
lebih menyeluruh," katanya membuka bicara dalam temubual bersama
Antarapos, baru-baru ini.
Sejak mula ditubuhkan pada 1992, MHP Enterprise kini mempunyai lebih 20
produk jenama Masri yang meliputi bahulu cermai, bahulu gulung, bahulu
ikan, pelbagai jenis biskut raya dan kerepek-kerepek tradisional.
Menurut Musleha, permulaan bagi perniagaan makanan itu hanya dengan
menyewa sebuah lot kedai di Sungai Leman, Sekinchan dan ia menjadi pusat
pemprosesan makanan dan pusat jualan kepada para pelanggan.
Menyedari jenama Masri mula mendapat tempat di kalangan pelanggan dan
permintaan yang semakin bertambah, pasangan Punari dan Mastura
kemudiannya membuat keputusan untuk membina premis perniagaan sendiri
lot kedai yang disewa dengan jumlah pelaburan RM500,000.
Wisma Masri, bangunan yang menjadi pusat sehenti pengusahaan industri
kecil dan sederhana bukan sahaja terkenal di kalangan penduduk setempat,
malah ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu mendapatkan
produk yang dijual di sana.
"Kami juga beri ruang kepada pembekal-pembekal yang lain, selain
daripada produk yang kami sendiri hasilkan, MHP Enterprise juga
mempunyai produk usahawan lain bagi membantu mereka. Umpama sepotong
kek, kita bahagikan setiap potongan itu untuk berkongsi rezeki.
"Pelanggan yang datang ke sini bukan sahaja dari kawasan berdekatan, 70
peratus pelanggan Masri adalah mereka yang tinggal di kawasan luar dan
melalui Sabak Bernam," kata Musleha lagi.
Bukan itu sahaja, Wisma Masri menjadi antara lokasi utama di kalangan pelancong tempatan atau luar negara.
Menceritakan
rutin menjelang hari raya, Musleha memaklumkan sudah menjadi kebiasaan
untuk setiap kakitangan syarikat seperti tidak cukup tangan untuk
menghasilkan produk-produk makanan mereka.
Yang pasti, selain aneka jenis kerepek, kuih bahulu sememangnya menjadi
tumpuan utama pelanggan ketika membeli-belah sempena hari raya.
"Bahulu yang kami hasilnya rangup di luar, lembut di dalam dan itulah
sebenarnya keistimewaan bahulu kampung. Malah kami tidak menggunakan
bahan penaik, hanya bahan-bahan asas dengan kaedah pembuatan yang moden.
"Kami rasa sudah hasilkan banyak kuih bahulu, siang malam bekerja.
Malah menjadi kebiasaan setiap tahun dengan kami tingkatkan jumlah
pengeluarannya tetapi tetap tak cukup dan orang masih mencari-cari
bahulu kami.
"Allah dah beri masa 24 jam, kami bekerja mula 7.30 pagi hingga 5
petang, kemudian sambung pula 5 petang kepada 11 malam, itu pun bahulu
yang dihasilkan belum mencukupi.
"Pelanggan semakin bertambah, begitu juga permintaan yang sekali datang
ke kedai beli dengan jumlah yang banyak. Strategi kami pada minggu
pertama dan kedua puasa akan tumpu kepada peniaga. Minggu ketiga dan
keempat akan tumpu kepada pelanggan runcit sebab kami tak mahu mereka
pula tak dapat bahulu," tambahnya panjang lebar.
Malah melalui tinjauan kami juga ke ruang pembuatan bahulu mendapati
ketuhar dan mesin tidak henti-henti menghasilkan bahulu dengan para
pekerjanya juga sibuk melakukan tugas masing-masing.
Kedatangan kami pada awal bulan Ramadhan juga mendapati pelanggan sanggup beratur menunggu bahulu panas yang baru dihasilkan.
Melihat kepada keadaan ini, Musleha menyatakan keyakinannya untuk
meneruskan perniagaan warisan ini supaya jenama Masri tetap menjadi
pilihan pelanggan.
"Kami sentiasa berusaha meningkatkan produk kami, selain beri peluang
kepada pengusaha IKS yang lain. Tetapi kami akan sentiasa memastikan
kelebihan kami melebihi pengusaha IKS yang lain, dengan memberi harga
yang berpatutan, layanan yang baik dan mesra. Itulah menjadi sebab
mengapa pelanggan merasa senang dan suka untuk datang ke sini," kata
Musleha.
Selain mampu menarik nafas lega jenama Masri sudah berjaya menembusi
pasaran luar negara, syarikat itu juga kini merancang untuk menambah
lagi produk IKS lain di pusat jualannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan