Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Gabungan blok politik ketiga, PAS dan Parti Ikatan Bangsa
Malaysia (Ikatan), bercadang menubuhkan sebuah sekretariat bersama tidak
lama lagi.
Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil berkata, penubuhan
itu tertangguh berikutan PAS sibuk dengan persiapan Pilihan Raya Negeri
(PRN) Sarawak pada 7 Mei lalu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai
Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu.
Katanya, sekretariat bersama itu akan menggerakkan beberapa isu berkaitan kerajaan demi kebaikan rakyat negara ini.
Kita tidak ada kegiatan sebab pimpinan PAS dan Ikatan sibuk dengan PRN
Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, jadi kita terpaksa
tunggu sehingga selesai PRK ini barulah kita boleh tubuh sekretariat
bersama PAS-Ikatan.
"Sekretariat akan mula bergerak dengan pelbagai rancangan untuk
bekerjasama dengan kerajaan mengenai masalah yang begitu mendesak yang
dihadapi oleh rakyat. Waktu muktamarpun ialah ikut program biasa PAS
iaitu soal dalaman parti sahaja, memang kita tidak bincang dengan
kerjasama, sekretariat pun belum tubuh lagi.
"Sebabnya inilah kita kena tunggu selepas PRK baru kita tubuhkan
sekretariat lepas itu baru kita akan giat dengan cergas," katanya kepada
Antarapos.
Ditanya mengenai langkah 'mesra' Umno-BN yang kini ditunjukkan PAS,
Abdul Kadir berkata Ikatan sememangnya menerima pendekatan politik
matang dan sejahtera yang kini dicanang oleh PAS.
PAS telah pun bertukar strategi sikit sebagaimana yang dinyatakan
Presiden PAS yang dipersetujui oleh Dewan Tertinggi PAS, iaitu strategi
politik matang dan sejahtera bermakna dia (PAS) tidak mahu hentam
kerajaan gila-gila segalanya salah, betul pun salah.
"(PAS) tidak mahu begitu lagi dah. Dia tukar cara dan strategi dia
untuk berkhidmat untuk memajukan perjuangan dia, kalau benda yang baik
kerajaan buat, dia tetap sokong dan menentang yang tidak baik," jawab
bekas Menteri itu.
PAS membentuk blok politik ketiga bersama Ikatan pada 16 Mac lalu
selepas ia tidak menyertai gabungan pembangkang baru, Pakatan Harapan
(PH) yang terdiri DAP, PKR serta serpihan PAS, Parti Amanah Negara
(Amanah).
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, blok politik ketiga
pembangkang itu tidak akan membangkang secara melulu dan ekstrem seperti
yang diamalkan pakatan pembangkang sedia ada.
Kerjasama PAS-Ikatan memang sudah dijalin. Ada perjanjian yang
ditandatangani oleh Presiden PAS dengan saya. Tapi belum dapat
laksanakan sebab sibuk dengan PRN Sarawak dan kini dengan PRK, semua
orang faham bahawa kita belum tubuh sekretariat. Saya ada di muktamar
bersama dengan PAS," katanya.
PAS dalam pada itu mengajak PKR menyertai blok politik ketiga bersama
parti Ikatan selepas timbul saranan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali agar PAS kembali bersama DAP dan parti itu.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki,
pihaknya melihat gabungan PAS, PKR dan parti-parti lain seperti Ikatan
mampu membawa kesan besar termasuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) akan datang tanpa pembabitan bekas sekutunya, DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan