MALAYSIAKINI
Majlis Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tidak meneruskan dakwaan
terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Dalam permohonan itu Majlis Peguam memohon perintah Mahkamah Tinggi
untuk mengetepikan keputusan Apandi pada 26 Januari lalu 'membersihkan'
Najib dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menutup siasatan mereka.
Badan peguam itu juga mahu mahkamah menghalang peguam negara daripada
membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu, selain
membenarkan peguamcara negara memutuskan hal berkenaan, termasuk sama
ada mendakwa Najib atau tidak.
Turut disebut, Majlis Peguam memohon perintah mahkamah membenarkan SPRM
meneruskan siasaran dalam kes yang diarah tutup oleh Apandi sebelum ini.
"Majlis Peguam berpendapat kuasa pendakwaan berdasarkan budi bicara pada
peguam negara mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak
bersifat mutlak atau tidak terbatas, dan pengamalan kuasa ini boleh
dicabar melalui semakan kehakiman.
"Skop dan ruang kuasa budi bicara, dan sama ada kuasa itu dilaksanakan
mengikut undang-undang berdasarkan fakta kes perlu ditentukan oleh
mahkamah," kata Presiden Majlis Peguam Steven Thiru dalam kenyataan hari
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan