MALAYSIAKINI
Pemuda Umno Wilayah Persekutuan meminta Kementerian Dalam Negeri
(KDN) mengharamkan kemasukan pelawak dari Singapura, Fakkah Fuzz ke
Malaysia kerana menggelarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
sebagai 'pencuri'.
Ketuanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, tindakan pelawak
berkenaan merupakan perbuatan biadap dan tidak sepatutnya berlaku
memandangkan kedua-dua negara berjiran memiliki hubungan akrab sejak
puluhan tahun.
"Sebagai pelawak, tentunya ada pelbagai cara dan idea lain untuk
membuatkan orang tertawa. Tapi menjadikan pemimpin negara jiran sebagai
bahan sindiran, itu adalah tindakan tidak bijak dan matang.
"Sebagai anak Malaysia, kami amat terkesan dengan sindiran tak
berakal ini dan menggesa supaya pihak KDN mengambil ketetapan
mengharamkan Fakkah Fuzz memasuki Malaysia.
"Negara kita tak sedikit pun rugi sekiranya orang sebegini tidak berada di Malaysia," katanya pada satu kenyataan media.
Baru-baru ini satu klip video memaparkan aksi Fuzz tersebar luas di
media sosial dan melalui jenaka itu beliau bercerita mengenai
'perbezaan' penggunaan bahasa orang Melayu Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata: "Apabila kita ada thief, di Singapura kita panggil
pencuri. Di Malaysia mereka panggil perdana menteri. Jadi ia memang
sangat berbeza."
Razlan berkata, Fakkah Fuzz sepatutnya melihat masalah dihadapi
penduduk Singapura terlebih dahulu sebelum menghina pemimpin di
Malaysia.
"Nasihat PPUWP kepada Fakkah Fuzz, lihat dahulu masalah serta kekusutan
bangsa sendiri di negara sendiri sebelum menghina pemimpin negara kami
yang banyak jasanya kepada pelbagai kaum dan bangsa di sini malahan di
negara-negara Asia yang lain," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan