Sabtu, 2 Julai 2016

Kerajaan perlu beri sebab naik turun harga minyak

 HAZAYANI ZAKARIA
 
 
Kaedah apungan terurus harga minyak di negara ini perlu dijelaskan kepada rakyatKaedah apungan terurus harga minyak di negara ini perlu dijelaskan kepada rakyat


Kerajaan disaran membentangkan maklumat terperinci setiap kali berlakunya kenaikan atau penurunan harga petrol melalui apungan terurus setiap bulan bagi membuktikan kebertanggungjawaban dan ketelusan mereka.
Muhammad Shaani AbdullahMuhammad Shaani Abdullah
Ahli lembaga pemegang amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) Muhammad Sa’ani Abdullah berkata, kegagalan kerajaan berbuat demikian menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat yang berterusan.

“Kerajaan perlu kaji semula kenaikan atau penurunan harga mengikut sistem apungan yang diputuskan setiap bulan. Tetapi sehingga kini kerajaan tidak memberi satu kertas yang menjelaskan kenapa harga minyak naik dan turun. Itu perlu ada dan ini adalah satu cara untuk mendidik rakyat tentang tindakan dan keputusan kerajaan.

“Kalau kita cerita tentang kebertanggungjawaban dan ketelusan penjelasan ini harus disertakan bila harga dikaji semula. Kalau ini dijelaskan persoalan wajar atau tidak kenaikan harga minyak boleh difahami rakyat,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing meningkat sebanyak 5 sen seliter berkuat kuasa tengah malam tadi.

Harga baru RON95 akan menjadi RM1.75 seliter manakala RON97 akan dijual pada harga RM2.10 seliter.

Bagi diesel pula, harga barunya adalah RM1.60.

Dalam pada itu, Sha’ani menyeru rakyat agar menjadi warganegara yang lebih peka dengan segala salah laku yang berlaku membabitkan pemimpin negara.

Tanpa menolak kewajaran rakyat mempersoal tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, beliau berkata rakyat juga harus mempersoal rasuah dan salahguna kuasa membabitkan pemimpin negara.

“Memanglah harga minyak naik satu perkara yang membebankan rakyat tetapi kenapa jumlah lain yang lebih banyak kita tak persoal?

“Kes 1MDB, (derma) RM2.6 bilion misalnya kita tak persoal. Dari segi kenaikan harga minyak perlu soal tapi perlu juga bertindak sebagai warganegara yang persoal perkara lain seperti pembaziran,
penyalahgunaaan kuasa dalam peruntukan atau perbelanjaan kerajaan, rasuah dan sebagainya. Kita tidak harus berdiam diri,” tegasnya.

Sementara itu beliau mengingatkan para peniaga agar tidak menaikkan harga barang menggunakan alasan kenaikan harga petrol.

Menurut beliau, pengguna perlu membuat aduan kepada pihak berwajib jika berlakunya kenaikan harga barang pada musim perayaan ini.

“Harga minyak naik hari ini, perayaan dalam empat hari lagi jadi kesan dia tak begitu cepat untuk peniaga menaikkan harga barang.

“Kami harapkan peniaga tidak mengambil kesempatan kerana barang yang keluar dari kilang sudah ada di kedai. Jadi barang itu tak ada kena mengena dengan harga minyak hari ini.

“Pengguna juga harus lebih peka, bila ada peniaga naikkan harga laporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Tiada ulasan: