MALAYSIAKINI
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengesahkan beliau memilih untuk
menamatkan karier politiknya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak membuat keputusan untuk memindahkannya ke kementerian lain.
Katanya, beliau pada asalnya hanya membuat keputusan untuk tidak
bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14, namun mengubah keputusan untuk
meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan kedua.
"Pada 27 Jun (2016), selepas mesyuarat Majlis Ekonomi, saya bertanya
perdana menteri, adakah benar PM akan menukar portfolio saya dalam
rombakan Kabinet yang akan diumumkan pada petang itu?
"PM mengesahkan saya akan ditukar portfolio.
"Saya memaklumkan PM bahawa saya telah tetapkan dalam fikiran bahawa
saya akan mengakhiri dunia politik di Kementerian Kewangan," katanya
seperti dilapor Berita Harian.
Sehubungan itu, kenyataan tersebut juga seperti mengesahkan spekulasi
yang dibuat blogger Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa Husni
meletakkan jawatannya kerana kecewa apabila Najib ingin memindahkannya
ke Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Akhbar itu melaporkan, Husni menjelaskan beliau membuat keputusan
sedemikian memandangkan hanya mempunyai tempoh perkhidmatan selama satu
setengah tahun.
Katanya lagi, sekiranya beliau ditukar ke portfolio lain dalam tempoh
berkenaan, ia tidak mencukupi untuk membolehkannya berkhidmat dengan
efektif.
Selain itu, anggota parlimen Tambun itu berkata, beliau juga perlu
menghadiri pelbagai acara sekiranya perlu berkhidmat di usianya yang
lewat 60-an sedangkan Husni berkata, beliau ingin melalui fasa lain
dalam kehidupannya.
"Saya berasakan dunia pekerjaan kini lebih sesuai dilaksanakan oleh
generasi yang lebih muda daripada diri saya. Dengan umur mencapai 60-an,
adakah saya patut meneruskan perkhidmatan?
"Kerja-kerja sebagai menteri kewangan II begitu rumit membabitkan
antara lain menguruskan Dasar Fiskal, bajet, memantau kedudukan
kewangan, hutang negara, tender, 1MDB, syarikat-syarikat kewangan
diperbadankan, menentukan harga minyak di pasaran, memantau pasaran
kewangan serta pasaran modal, serta menghadapi pelbagai isu persepsi,"
katanya.
Najib pada 27 Jun lalu mengumumkan rombakan kabinet kali ketiga sejak
menerajui negara. Najib juga mengumumkan 'kenaikan pangkat' Datuk
Johari Abdul Ghani daripada timbalan menteri kewangan kepada menteri
kewangan kedua bagi menggantikan Husni yang meminta untuk berundur atas
sebab peribadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan