Ahad, 3 Julai 2016

Kesihatan boleh terjejas jika kerap memandu jauh

DETIK DAILY



 

ANDA sering melakukan perjalanan jarak jauh? Pernahkah anda merasa sakit belakang, hilang tumpuan dan mengalami kenaikan berat badan? Menurut Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, masalah-masalah itu merupakan antara risiko yang mungkin berlaku akibat pemanduan jarak jauh.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan individu yang memandu jarak jauh supaya mendapatkan rehat dan tidur secukupnya selain kerap bersenam untuk mengekalkan kecergasan.

"Jangan ambil pil stimulan untuk menyegarkan badan dan menghilangkan rasa mengantuk. Sebaliknya, ambil vitamin atau minum kopi dalam kadar berpatutan untuk menyegarkan diri," katanya kepada Bernama.

Dr Ahmad Shukri berkata individu yang sering melakukan pemanduan jarak jauh, iaitu melebihi 15 kilometer (km) sehala akan mudah hilang fokus dan khayal dalam pemanduan sehingga boleh mengakibatkan kemalangan.

"Sekitar tahun 1986 hingga 1997, saya sendiri pernah terlibat dalam lima kemalangan. Semasa itu saya bertugas di Temerloh, Pahang dan isteri di Kuala Lumpur yang menyebabkan saya perlu memandu jauh setiap hujung minggu untuk bertemu keluarga," katanya.
 
Beliau berkata tiada siapa menyangka bahawa beliau masih hidup akibat kemalangan itu. 

"Kalau dilihat keadaan kereta saya, mungkin orang tidak percaya saya masih ada. Saya bernasib baik kerana kereta hanya tergelincir dan tidak pernah berlanggar dengan kenderaan lain. Syukur kerana Allah SWT masih melindungi saya," katanya berkongsi pengalaman.

Akibat pemanduan jarak jauh, individu berkenaan juga berisiko mendapat sakit belakang akibat duduk terlalu lama dan tidak duduk dalam posisi yang betul, kata beliau.

"Mereka juga boleh mendapat tekanan darah tinggi akibat stress kerana terpaksa meredah kesesakan jalan raya. Apabila tertekan, akan mudah marah dan risau. Apatah lagi apabila teringat masih belum bersolat atau memikirkan urusan-urusan di rumah atau tempat kerja," katanya, memberikan beberapa contoh.

Selain itu, Dr Ahmad Shukri berkata kenaikan berat badan juga mungkin boleh berlaku jika individu berkenaan makan makanan ringan untuk menghilangkan rasa mengantuk sepanjang pemanduan. - Bernama


Tiada ulasan: