Rabu, 16 September 2015

UMNO di bawah Najib semakin tidak bertoleransi – Anwar Ibrahim

 
UMNO memperalatkan agama dan kaum untuk kekal relevan di samping menyalahguna undang-undang untuk mendiamkan pengkritik. 


najib,anwar


PETALING JAYA: UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak semakin tidak bertoleransi dan tidak bertanggungjawab dengan memperalatkan isu perkauman dan keagamaan untuk kekal relevan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, taktik memburuk-burukkan pimpinan pembangkang mirip sifat pemerintah autoritarian.

“UMNO dan pimpinannya perlu berani berdepan dengan pembangkang dan masyarakat sivil melalui perbahasan yang sihat dan berasaskan logik,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Komunikasi PKR.

Anwar berkata, ketidakberanian itu dicerminkan menerusi tindak-tanduk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sering menggunakan undang-undang menindas seperti Seksyen 124B Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk mendiamkan pengkritik.

“Undang-undang mesti diguna untuk melindungi masyarakat bukan untuk menggertak dan menakut-nakutkan rakyat,” kata Anwar.

Beliau turut mengecam tindakan beberapa anggota UMNO yang terlibat dalam kejadian pembakaran patung yang menyerupai pimpinan DAP dan menyifatkan ia tindakan yang memalukan lagi tidak beradab selain mempunyai elemen perkauman.

Tiada ulasan: