Rabu, 2 September 2015

Tindakan pijak gambar tak boleh dimaafkan

Tindakan pijak gambar tak boleh dimaafkan
Ahmad Razif
 
 
KUALA TERENGGANU - Tindakan peserta Bersih 4.0 memijak gambar pemimpin ketika perhimpunan di Dataran Merdeka, baru-baru ini adalah perbuatan biadab yang boleh mendorong kepada lahirnya generasi kurang ajar, sekiranya ia tidak dibendung.
 
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, perbuatan itu amat mendukacitakan dan satu tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa.
 
“Perhimpunan ini seolah-olah ada satu strategi. Pertama, mereka mahu pastikan seluruh dunia melihat, jadi mereka dah tahu kalau buat hari biasa tak ada siapa nak tengok sangat, jadi ia diadakan pada hari nak sambut kemerdekaan.
 
“Kita tahu, sudah semestinya ketika itu seluruh dunia memerhati apa yang sedang berlaku di negara kita. Jadi, secara tidak langsung mereka juga telah mempamerkan satu tingkah laku yang tidak baik, terutama kepada generasi baru,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas Night Market Kampung Ladang, di sini, semalam.
 
Ahmad Razif turut menyuarakan kebimbangan sekiranya perkara itu tidak dibendung serta tidak diambil tindakan tegas, ia akan mempengaruhi dan melahirkan generasi akan datang sebagai generasi kurang ajar.
 
“Kalau hari ini mereka pijak gambar pemimpin, esok siapa tahu mereka akan pijak mak ayah mereka pula,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: