BERNAMA
Perniagaan seperti kedai
runcit dan serbaneka, farmasi dan kedai perkakas, didapati belum
memiliki sistem yang turut merekodkan kutipan GST, walaupun tarikh
penguatkuasaan akan bermula 1 Oktober ini.
PUTRAJAYA, Lebih 35,000 peniaga didapati belum memiliki perisian Sistem Jualan Runcit yang dilengkapi sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di premis masing-masing.
Memetik maklumat Jabatan Kastam Diraja
Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata,
perniagaan seperti kedai runcit dan serbaneka, farmasi dan kedai
perkakas, didapati belum ada sistem yang turut merekodkan kutipan GST,
walaupun tarikh penguatkuasaan akan bermula 1 Oktober ini.
“Kita dapati 50 peratus daripada 70,000 perniagaan masih menggunakan sistem manual, iaitu menerusi catatan dalam buku.
“Agak mustahil untuk mereka mengingati
kesemua barang dikenakan GST atau tidak sehinggakan barang dikecualikan
turut dikenakan cukai enam peratus berkenaan,” katanya.
Bercakap selepas mempengerusikan
mesyuarat bersama vendor Sistem Jualan Runcit, hari ini, Johari turut
mengingatkan peniaga bahawa penggunaan sistem itu dapat mempermudahkan
proses dokumentasi GST.
“Ia akan mengurangkan aduan pengguna
terhadap sesetengah kedai yang mengenakan GST, walaupun barangan itu
sebenarnya tiada GST,” katanya.
Terdahulu, Johari berkata, ada sejumlah
40 wakil vendor dipilih Kastam untuk menyediakan sistem tersebut untuk
peniaga pada harga serendah RM2,000.
“Jenis sistem dan kos agak berbeza-beza dan ia berdasarkan jenis perniagaan mereka,” katanya.
Johari berkata, kerajaan juga sedang menimbang tindakan yang boleh diambil terhadap peniaga yang gagal menggunakan sistem itu.
“Buat masa ini, tanggungjawab kerajaan
adalah memastikan pelaksanaan GST lancar, manakala perniagaan dalam
negara berjalan baik dan bukannya semata-mata untuk mendenda peniaga,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan