Ahad, 20 September 2015

Azmin: Siasatan polis gangguan terhadap pembangkang

Oleh Nadia Hanafi 



KUALA LUMPUR : Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini berhubung pembabitannya dalam perhimpunan Bersih 4 hujung Ogos lalu dan kenyataan beliau di Permatang Pauh sebelum ini.

Azmin 1Bagi Bersih 4, beliau disiasat mengikut tiga Seksyen iaitu Akta Perhimpunan Aman 42F, 41C dan Sekyen 8 Akta Percetakan dan Penerbitan berkaitan penggunaan T-shirt Bersih 4.

Timbalan Presiden KEADILAN itu juga disiasat berhubung penggunaan perkataan ‘barua’ di Permatang Pauh membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bercakap kepada pemberita selepas hampir dua jam disiasat, Mohamed Azmin menyifatkan tindakan itu sebagai bentuk tekanan dan gangguan terhadap pimpinan politik pembangkang.

Beliau tidak akan bertolak ansur terhadap siasatan tersebut kerana tegasnya perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lalu itu adalah mengikut perlembagaan.

“Ini satu bentuk tekanan, gangguan terhadap pimpinan parti-parti politik dalam usaha kita mahu kembalikan demokrasi dan hak rakyat di negara ini.

“Namun sekarang saya lebih ingin berjuang untuk rakyat dan tidak akan bertolak ansur kerana perhimpunan aman tersebut mengikut peruntukan perlembagaan dan dijamin perlembagaan,” katanya.

Beliau malah mempersoal pihak berkuasa kerana bertindak tidak profesional dengan mengharamkan perhimpunan Bersih 4 tetapi memberi lampu hijau kepada perhimpunan ‘Baju Merah’ yang jelas mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Azmin 2“Bagaimana perkara ini boleh direstui Perdana Menteri sedangkan perhimpunan tersebut tidak aman dan mencetuskan sentimen perkauman dan agama.

“Sebaliknya Bersih 4 mempunyai objektif yang cukup jelas menuntut kerajaan yang bersih, pilihan raya bersih dan berlangsung secara aman dan cukup disiplin,” kata Mohamed Azmin lagi.

Sambungnya, tekanan itu sama sekali tidak melemahkan semangat Pakatan Rakyat untuk terus berjuang bagi memastikan hak rakyat terbela dan demi menyelamatkan negara.

Sementara itu, peguam beliau, N Surendran berkata, tidak ada sebab polis menyiasat anak guamnya itu dan menegaskan siasatan berkenaan hanya membazir masa dan tenaga.

“Perhimpunan Bersih 4 adalah perhimpunan aman dan tidak perlu sebarang penyiasatan. Begitu juga kenyataan Azmin di Permatang Pauh, tak ada sebab polis siasat ceramah politik oleh parti politik yang sah,” katanya.

Peguam yang turut mewakili Mohamed Azmin adalah Latheefa Koya, Datuk S Ambiga dan Yusmadi Yusoff.

Tiada ulasan: