Datuk Dr Khair Mohamad Yusof
SHAH ALAM - Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bukan menjadikan pelajar
sebagai bahan uji kaji dan ujian itu tidak disediakan dalam masa yang
singkat.Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada yang telah diguna pakai untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Format soalan PT3 juga adalah selari dengan format instrumen Pentaksiran Sekolah (PS). PS yang dilaksanakan mulai tingkatan satu menggalakkan guru mentaksir pelajar dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti lisan, ujian bertulis, kajian lapangan, kuiz, kajian di makmal sains dan senarai semak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, ini bermakna pelajar telah didedahkan dengan pelbagai format instrumen ujian sejak tahun 2012.
Beliau turut menafikan bahawa soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) penyebab kemerosotan kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis.
“Struktur soalan baharu ini memerlukan pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran apabila menjawab soalan peperiksaan berbanding soalan objektif yang hanya memerlukan pelajar menghafal untuk memperoleh keputusan cemerlang.
“PT3 merupakan pentaksiran sumatif setara di tingkatan tiga bagi menilai pencapaian akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah,” katanya.
Ujarnya lagi, pelaksanaan PT3 mengambil kira instrumen dan panduan penskoran setara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan manakala pentadbiran dan penskoran oleh guru di sekolah masing-masing dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Keputusan PT3 juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh dan ke aliran sains atau sastera," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan