Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: PAS meminta DAP menghentikan segala desakan agar PAS menggugurkan agenda hudud kerana parti Islam itu tetap komited untuk melaksanakan undang-undang Islam itu, tegas Sallehin Mukhyi.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu bagaimanapun berkata, parti tersebut mungkin akan menangguhkan pelaksanaan hudud terlebih dahulu, sebagai langkah terakhir sekiranya parti-parti sekutunya di dalam Pakatan Rakyat (PR) masih enggan menerima agenda tersebut.
"Kita sudah masak dengan tuntutan DAP. Ia bukan perkara baru, boleh jadi sudah ke seribu kali ia dibuat. DAP juga maklum bahawa mereka bersama kita di dalam PR selepas mengetahui PAS ada kerangka perjuangan tersendiri. Maka saya tidak fikir apabila DAP bersama kita sejak dahulu, mereka tidak tahu prinsip itu tidak ada dalam PAS.
"Untuk menolak (hudud), itu sangat bercanggah dengan perjuangan kita. Namun untuk menangguhkan, itu mungkin boleh difikirkan atas beberapa keperluan," ujarnya melalui wawancara khas bersama Antarapos, baru-baru ini.
Sallehin berkata demikian sebagai mengulas penentangan terbaharu DAP terhadap agenda hudud PAS untuk meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika berucap di Konvensyen DAP Kebangsaan Ahad lalu berkata, PAS perlu segera mengambil tindakan itu supaya gabungan pembangkang ada dasar yang jelas bagi meraih keyakinan rakyat.
Bagaimanapun Sallehin menempelak sikap 'takut' DAP ini terhadap undang-undang Islam itu. Ia dijangka dilaksanakan terlebih dahulu di Kelantan, yang ditadbir oleh PAS.
"Kemenangan lebih 80 peratus di Kelantan tidak ada kena mengena dengan DAP. Sebab mereka tidak ada satu kerusi pun di sana. Dan pada saya, daripada DAP berpolemik masalah Kelantan, lebih baik mereka lupakan sahaja dan serahkan Kelantan kepada PAS.
"Jika mereka kata ini (agenda hudud) gangguan untuk menuju ke Putrajaya, saya tidak fikir begitu kerana kenyataan mereka itulah yang menjadi gangguan terhadap kerja-kerja kita," tegasnya lagi.
Meskipun DAP kerap kali menempelak bahawa hudud bukan agenda bersama yang dipersetujui di dalam Pakatan, bekas exco itu yakin percakaran yang timbul sesama sekutu tidak akan memberi kesan terhadap penyatuan PAS-DAP-PKR untuk berpolitik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan