INTRODUKSI
Memorandum ini diserahkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan bertujuan untuk memberikan saranan dan komentar terhadap polisi dan tindakan kerajaan yang berkaitan dengan isu kejatuhan harga minyak dunia yang berlaku sejak enam bulan kebelakangan ini. Dikesempatan ini, kami berharap agar pandangan yang dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan 2013/2015 ini dapat dipertimbangkan demi kemaslahatan agama, rakyat dan negara. Ia menggariskan EMPAT topik utama iaitu mewibawa peranan PETRONAS, merevisi KDNK negara 2015, menerus peruntukan subsidi dan meningkat pendapatan rakyat. Pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan atas kesempatan masa yang diluangkan untuk berdialog dan mencambah pemikiran.
MEWIBAWA PERANAN PETRONAS
Kita semua mesti memahami hakikat bahawa minyak dan gas serta sumber alam yang terdapat di bumi adalah milik mutlak Allah SWT. Ia adalah anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia untuk dimakmurkan secara bijaksana dan adil. Nikmat yang Allah SWT kurniakan ini tidak dapat dihitung oleh manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “...Sesungguhnya bumi adalah milik Allah, diwariskan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki dikalangan hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-A’raaf : 128)
Firman di atas secara eksplisit menunjukkan bahawa pemilikan sumber alam tidak boleh dikuasai oleh individu-individu atau syarikat-syarikat tertentu bagi mengelakkan monopoli, korupsi dan penindasan terhadap rakyat. Amanah ini harus digalas oleh institusi yang berkompetensi dan berintegriti tinggi. Pemimpin adalah pemegang amanah harta Allah (istikhlaf) untuk diuruskan dan dimakmurkan bagi kemaslahatan rakyat serta negara.
Namun begitu dalam situasi dan konteks semasa khususnya di Malaysia, operasi mengeksplorasi, mengeksploitasi dan mengekstrak sumber alam adalah salah satu daripada proses pengeluaran dalam ekonomi bagi menjana pendapatan negara dan memberi kebajikan kepada keseluruhan rakyat. Ia adalah khazanah untuk generasi Malaysia pada masa akan datang.
Mengimbau sejarah, PETRONAS telah ditubuhkan pada tahun 1974 di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak. Semangat penubuhan PETRONAS adalah untuk memajukan sumber petroleum termasuk memanfaatkan hasilnya untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan. Walaupun PETRONAS berkuasa penuh terhadap keseluruhan operasinya, namun Perkara 3 (2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 khususnya menyatakan bahawa ia tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri.
Menyedari amanah sumber alam yang dianugerahkan Allah SWT ini, maka kami berpendapat bahawa satu usaha yang drastik perlu dilakukan untuk memelihara serta memulihara kewibawaan PETRONAS dan masa depan khazanah negara ini. Oleh yang demikian, satu usul pindaan atau rang undang-undang baru perlu dibentangkan di Parlimen bagi meletakkan PETRONAS di bawah kawalan badan khas legislatif itu. Ia harus menjadi institusi yang berintegriti dan berakauntabiliti terhadap rakyat.
Ini bermakna piawaian pentadbiran, operasi syarikat, pelaburan strategik dan perolehan PETRONAS boleh diselia dan diaudit menerusi badan awam. Segala hak eksklusif yang termaktub dalam Perkara 2 Akta Kemajuan Petroleum 1974 boleh dikekalkan buat masa ini. Manakala, sebarang pembayaran wang tunai yang dilakukan oleh perbadanan mestilah disalurkan kepada dana khas di bawah Parlimen berdasarkan prestasi kewangan semasa untuk tujuan membiayai kebajikan sosial rakyat.
Secara tidak langsung ia bertepatan dengan maksud firman Allah SWT yang bermaksud: “...supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dikalangan kamu” (Surah Al-Hasyr : 7)
MEREVISI KDNK NEGARA 2015
Kelangsungan survival ekonomi pada tahun 2015 menjadi perhatian rakyat. Pasaran harga minyak dunia menjunam sehingga 40% sejak enam bulan kebelakangan ini. Indeks Brent dan Western Texas Intermediate menunjukkan harga setong minyak berlegar pada paras USD 63 dan USD 59 sehingga 19 Disember 2014.
Kejatuhan harga minyak dunia dan sentimen pasaran yang rendah mengakibatkan beberapa operasi serta kewangan termasuk perbelanjaan modal (capex) Petronas telah distrukturkan semula atau diistilahkan sebagai ‘cash conserving mode’. Sudah tentu, pembayaran PETRONAS kepada kerajaan yang selama ini diberikan sehingga 40% akan merosot sehingga dua angka.
Signal ini telah disuarakan lebih awal oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang menganggarkan sumbangan perbadanan tersebut kepada kerajaan pada tahun 2015 akan jatuh sehingga 37% berbanding RM 43 bilion pada tahun sebelum ini.
Apabila berlaku keadaan kewangan seperti ini, maka kerajaan tidak sepatutnya terus memeras kantung PETRONAS sebaliknya mengemukakan mekanisme pembayaran yang lebih toleran. Pada masa yang kerajaan juga mesti mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap hasil minyak dan gas negara dan memfokuskan kepada pemerkasaan hasil bukan cukai.
Akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia yang dijangka sehingga ke paras USD 55 setong, banyak badan penyelidikan antarabangsa menurut sumber Bloomberg menjangkakan unjuran KDNK negara pada tahun 2015 berada pada paras 5.0% ke bawah. Antaranya, World Bank mengunjurkan 4.7%, Credit Suisse 4.8% dan BNP Paribas 4.5%. Secara keseluruhan, purata unjuran baru KDNK negara ialah 5.2%.
Dalam hal ini, kerajaan harus segera menyemak semula KDNK dan mengumumkan langkah-langkah proaktif yang akan diambil bagi memberikan gambaran sebenar ekonomi negara. Apatah lagi, ketika Bajet 2015 dibentangkan, kerajaan menganggarkan hasil daripada minyak adalah kira-kira RM 62.4 bilion iaitu pada paras harga minyak dunia berlegar sekitar USD 100 - USD 105 setong. Walaupun begitu, jangkaan PETRONAS pula adalah RM 43 bilion dengan mengambil kira harga minyak USD70 - USD75 setong. Kini, harga minyak telah mencecah USD 60 setong!
Meskipun ia dijangka dapat diseimbangkan dengan penjimatan RM11 bilion daripada penghapusan sementara subsidi minyak, namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung anggaran tersebut. Ini bermakna, sasaran kerajaan untuk mengurang defisit fiskal mencecah ke paras -3% tidak akan kesampaian. Malah, Maybank IB Research menjangkakan hanya -4%.
MENERUSKAN PEMBERIAN SUBSIDI
Sukar untuk membayangkan dalam keadaan mendepani cabaran ekonomi 2015, subsidi perlu terus diberikan kepada rakyat. Itulah prinsipnya. Harta Allah SWT yang dieksploitasi adalah untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Rakyat berhak menikmati hasil tersebut dalam bentuk subsidi petrol dan diesel kerana ia adalah milik rakyat.
Sayyidina ‘Umar Al-Khattab RA pernah berkata (maksudnya): “Sesungguhnya aku takut terdapat pemimpin selepas aku yang tidak menganggap pemberian itu sebagai harta (untuk dikembangkan oleh rakyat)”
Penetapan subsidi petrol dan diesel wajar diteruskan kerana ia memberi kesan langsung kepada pendapatan boleh guna rakyat seharian dan memberikan kesan gandaan ekonomi dalam industri. Tatkala purata harga pasaran runcit sebenar bagi RON95 sepanjang dua minggu pertama Disember 2014 berlegar di bawah RM2.00 seliter, maka kerajaan boleh menyuntik subsidi secara langsung atau terus melakukan penjimatan (melalui kaedah apungan terkawal) dengan syarat ia dilakukan secara telus.
Walau bagaimanapun, isu pokok yang perlu diberikan keutamaan ialah perbelanjaan kerajaan. Jika subsidi bahan bakar dianggap membebankan kewangan, terdapat beberapa prioriti utama yang perlu diselesaikan sebelum penghapusan subsidi dilaksanakan iaitu menghapuskan rasuah, ketirisan, penyelewengan, dan pengurusan yang tidak pruden.
AllahSWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula kikir, dan (perbelanjaan itu) adalah di tengah-tengah antara keduanya”. (Surah Al-Furqan: 67)
Kerajaan harus melaksanakan secara ketat amalan penjimatan. Merujuk kepada 11 langkah penjimatan sektor awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada akhir bulan Disember 2013, terdapat beberapa langkah yang tidak dipatuhi dan tetap diteruskan sepertimana yang direkodkan dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015.
Contohnya, pembekuan permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan. Namun sebaliknya, dalam buku tersebut merekodkan anggaran perbelanjaan 2015 untuk tujuan ubah suai pejabat Jabatan Peguam Negara berjumlah RM10 juta, Jabatan Audit Negara berjumlah RM200,000, dan Kementerian Kewangan RM 1.3 juta.
Selain itu juga, Jabatan Perdana Menteri telah mencatatkan jumlah peningkatan yang terlalu tinggi. Pada tahun 2008, jumlah perbelanjaan ialah RM7.1 bilion dan ia terus meningkat sehingga RM 16.5 bilion pada tahun 2014. Perbelanjaan mengurus yang tidak terkawal menyebabkan nisbah perbelanjaan antara mengurus dan membangun terlalu lebar (80:20) dan akhirnya kerajaan terus menanggung defisit belanjawan.
Ini tidak termasuk pendedahan ketirisan dan rasuah yang dilakukan saban tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara, projek-projek sakit dan bermasalah seperti 1MDB, 1BestariNet, dan MERS 999. Sekiranya pemasalahan evergreen ini dibendung, maka subsidi yang lebih menguntungkan rakyat dapat terus diberikan dan ia dijangka mampu meningkatkan pendapatan dan melancarkan pergerakan ekonomi domestik.
MENINGKATKAN PENDAPATAN RAKYAT
Dalam membahaskan isu meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan wajar mengukur semula paras garis kemiskinan bandar dan luar bandar bagi menyesuaikan dengan keadaan kos sara hidup semasa. Kerajaan juga disaran untuk mengadakan perbincangan dengan institusi zakat dan baitulmal supaya golongan fakir, miskin dan mudah terjejas dapat disasarkan dengan tepat.
Dalam hal ini, amat wajar jika semua pihak yang berautoriti bingkas membincangkan dan merintis jalan baru untuk mengupayakan golongan fakir, miskin dan al-gharimin. Antaranya adalah dengan mempertimbangkan institusi zakat di peringkat negeri untuk diuruskan melalui satu lembaga di peringkat persekutuan. Ia seharusnya diurus secara efektif dan efisyen seperti Lembaga Tabung Haji kerana jumlah keseluruhan kutipan zakat di seluruh negara mencecah kira-kira RM2 bilion.
Selain itu, beberapa tokoh akademia seperti Pengarah Pusat Sekuriti Sosial Universiti Malaya, pensyarah di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia dan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Malaya senada dan berpendapat bahawa golongan kelas pertengahan harus didefinisi semula dan mereka adalah kumpulan isi rumah yang paling teruk terjejas dengan kos sara hidup hari ini.
Statistik daripada The Malaysian Employers Federation telah mendedahkan bahawa kadar upah pekerja di Malaysia secara purata hanya meningkat sedikit iaitu kira-kira 6% dari tahun 2009 hingga tahun 2013. Ia tidak memberikan impak yang besar disebabkan peningkatan kos sara hidup yang selari berbanding produktiviti yang telah direkodkan dalam pertumbuhan KDNK.
Pada masa yang sama, golongan pekerja asing di Malaysia pula mendapat peluang dan kelebihan yang besar ekoran daripada pelaksanaan gaji minimum walaupun kerajaan telah mengenakan semula levi pekerja asing bermula Januari 2013 yang lalu. Sebahagian mereka memperoleh peningkatan pendapatan secara umumnya sekitar RM300 hingga RM500 sebulan. Akibatnya, jumlah pengiriman wang keluar oleh pekerja asing yang sah di negara ini terlalu tinggi iaitu dari RM10.5 bilion pada tahun 2009 kepada RM25.1 bilion pada tahun 2013.
Kerajaan masih terperangkap dengan pergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing. Diaspora Malaysia yang bekerja di luar negara pula melebihi sejuta orang menurut laporan Bank Dunia 2011. Talent Corp masih gagal membawa pulang sekurang-kurangnya 10% brain drain walaupun peruntukan besar telah diberikan sejak ia diasaskan pada tahun 2011.
Dikesempatan ini juga, kami ingin menegaskan secara konsisten bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 mesti dimansuhkan. Beberapa sektor utama seperti perumahan, kesihatan, kewangan dan pengangkutan telah menggambarkan kenaikan sehingga 5%. Pergerakan kenaikan kadar gaji yang perlahan dan dikombinasikan dengan kadar inflasi yang tinggi sudah pasti menjejaskan pendapatan isi rumah.
Ternyata ia lebih parah apabila hutang isi rumah terus meningkat sehingga 86.8 daripada KDNK negara pada hujung tahun 2013. Sejak polisi Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), jumlah agregat pinjaman isi rumah menerusi institusi kewangan dan perbankan tumbuh berkadar perlahan sejak 2010. Tetapi senario sebaliknya berlaku terhadap institusi kewangan bukan bank seperti syarikat pinjaman wang berlesen dan koperasi (shadow banks).
Pihak-pihak inilah yang menjadi faktor penyumbang ke arah peningkatan hutang isi rumah terutama jenis pinjaman peribadi. Antara usaha yang boleh diambil oleh kerajaan adalah menghentikan pemberian lesen baharu kepada syarikat pinjaman wang berlesen dan koperasi yang menawarkan servis tersebut. Mereka juga wajib mematuhi Guidelines on Responsible Financing yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. - HARAKAHDAILY
Tulisan di atas adalah kandungan memorandum isu kejatuhan ringgit dan pasaran minyak dunia oleh Dewan Pemuda PAS WP kepada Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Ahmad Husni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan