Isnin, 17 Februari 2014

PRK Kajang: Umno jilat ludah sendiri

Setiausaha Agung PKR turut mencabar Umno meletakkan calon di Kajang.




KAJANG:  Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution hari ini menyifatkan kempen Umno dalam PRK Kajang menunjukkan Umno terpaksa menjilat ludah sendiri.

Ini ekoran tindakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang telah turut serta memulakan kempen PRK sebelum penamaan calon.

“Umno telah menjilat ludah sendiri.  Ini menunjukkan bahawa tidak salah memulakan kempen sebelum hari penamaan calon,” kata Saifuddin dalam satu sidang media di Hotel Oriental Crystal di sini.

Selama seminggu Umno telah menghentam PKR ekoran tindakan calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memulakan kempen sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kekosongan kerusi DUN Kajang pada 5 Feb.

Merujuk kepada lawatan Khairy semalam, Saifuddin turut menuduh Umno sebagai menjadi dalang di sebalik keinginan bekas Presiden Parti Kita dan bekas naib presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding di dalam PRK Kajang.

“Adakah Umno di belakang Zaid? Jika benar Umno anak jantan sepatutnya Umno sendiri menamakan calon mereka.  Jangan baling batu sembunyi tangan,” kata Saifuddin.

Zaid mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam PRK pada 14 Februari.  Selain Zaid, Anwar telah mengumumkan untuk bertanding

Sementara itu dalam reaksi spontan Zaid mahu pengundi Kajang untuk membuat keputusan samada beliau mencalonkan dirinya dengan restu Umno.

“Saya menjangkakannya dari  PKR.  Mereka memang selalu mempersendakan pihak lain. Biar rakyat yang menentukannya,” kata Zaid yang dihubungi untuk reaksi beliau berhubung tuduhan Saifuddin itu.

Semalam Khairy menyatakan penyertaan Datuk Zaid Ibrahim dalam PRK ini hanya akan memberi kesan kepada PKR dan BN tidak akan terjejas.

“Untuk BN persoalan siapa MB ialah krisis dalaman PKR. Zaid hanya menambahkan masalah untuk PKR yang dilihat rakyat sebagai masalah dalaman,” kata Khairy semalam selepas melawat 25 rumah penduduk Kampung Sungai Kantan.

Sementara itu Saifuddin turut menafikan laporan akhbar Star dua hari lalu bahawa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim enggan menandatangani    surat letak jawatan yang tidak bertarikh untuk memberikan laluan agar Anwar menjadi Menteri Besar.

“Itu semua karut.  Mereka tidak merujuk kepada saya, Anwar atau timbalan presiden Azmin Ali,” kata Saifuddin.

Tiada ulasan: