Selasa, 11 Februari 2014

Pelakon video Teresa Kok beri keterangan polis esok

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH

Polis belum lagi bertindak terhadap sekumpulan individu yang menggelar diri mereka 'Majlis NGO Islam', yang menawarkan ganjaran  RM1,200 terhadap mereka yang berani menampar Kok. – Gambar fail.Polis belum lagi bertindak terhadap sekumpulan individu yang menggelar diri mereka 'Majlis NGO Islam', yang menawarkan ganjaran RM1,200 terhadap mereka yang berani menampar Kok. – Gambar fail.


Pelakon dalam klip video Teresa Kok, 'Onederful Malaysia CNY 2014' adalah yang pertama dipanggil polis untuk memberikan keterangan ke atas penglibatan beliau dalam klip video yang didakwa menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Dipercayai pelakon tersebut, Lim Ching Mau akan berjumpa dengan polis esok di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) pada jam 2 petang untuk memberikan keterangan.

Kok melakonkan watak sebagai pengacara rancangan feng shui dan menemubual tiga ahli panel, termasuk Lim dalam klip video Tahun Baru Cina tersebut.

Tiga ahli panel itu mempersendakan pelbagai isu, termasuk isu keterangan sistem pendidikan Malaysia dan pencerobohan pengganas Sulu di Sabah tahun lalu.

Kok sedang disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kerosakan awam dan Seksyen 233(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia.
Lim, 32 tahun, memberitahu portal berita Malaysiakini bahawa beliau memainkan watak Lydia Shum, pelakon daripada Hong Kong, dalam klip video tersebut.

"Saya rasa rupa saya seiras dengan Lydia... saya menonton beliau sejak kecil lagi," katanya.

Beliau menambah, beliau sudah kehilangan banyak kerja lakonan berikutan kontroversi klip video Kok.

"Saya harap perkara ini akan selesai secepat mungkin, saya kehilangan dua kerja dan kerja lain pula ditangguhkan. Ini menyebabkan saya kehilangan beberapa ribu ringgit," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata polis akan menyiasat klip video tersebut dan memutuskan sama ada ia merupakan hasutan atau fitnah.

Beliau menambah, sekiranya didapati bersalah, tindakan relevan akan dikenakan terhadap Kok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan bahawa polis menerima sebanyak 300 aduan terhadap Kok tentang klip video tersebut.

"Kita sudah memulakan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara ini.

"Kita akan mengumpulkan dan meneliti semua laporan yang diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Klip video yang berunsurkan satira politik itu dimuat naik ke laman maya pada 27 Januari lalu.
Beberapa NGO Islam dan menteri Kabinet mengkritik video tersebut dan mendakwa video itu menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang masih belum menonton video tersebut, mengatakan bahawa Kok mempermainkan insiden pencerobohan Lahad Datu oleh tentera Sulu yang mengorbankan 10 polis dan tentera Malaysia.

Bagaimanapun, polis belum bertindak terhadap sekumpulan individu yang menggelar diri mereka 'Majlis NGO Islam', yang menawarkan ganjaran  RM1,200 terhadap mereka yang berani menampar Kok.

Ahli Parlimen Seputeh itu serta penyokong beliau membuat tujuh laporan polis, Jumaat lalu, kerana bimbang atas keselamatan dirinya.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 505(c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang lain, dan Seksyen 506 bagi ugutan jenayah.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata tiada siasatan lanjut diperlukan oleh polis, kerana tindakan NGO tersebut bukan satu ancaman.

"Tamparan bukan satu ugutan. Jika mereka mengugut untuk membunuh, maka ia satu ugutan," katanya.

NGO tersebut merancang untuk menganjurkan satu lagi protes jika ahli politik tersebut enggan mengubah sifat cauvinistik mereka.

Tiada ulasan: