Isnin, 17 Februari 2014

Elak demonstrasi Baling 1974, Anwar diminta kempen kawal kejatuhan harga getah

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA


Demonstrasi Baling 1974 boleh berulang jika harga getah yang sedang jatuh teruk sekarang tidak dikawal segera, kerana para penoreh getah sedang berhadapan masalah berganda kerananya.

Ini kerana, ketika harga getah jatuh merudum, musim kemarau yang melanda negara pula menyebabkan susu getah hanya sedikit, dan dalam masa yang sama, kos sara hidup melonjak naik.

Daripada RM4.50 - 5.00 sekilo pada tahun 2011, kini harga getah sekerap hanya sekitar RM2.40 sekilo, menyebabkan hidup penoreh getah tradisional sangat tertekan.

Tekanan hidup ini dirasai dengan jelas khasnya oleh penoreh getah tradisi yang tinggal di pedalaman negeri seperti Terengganu dan Kedah.

Di Baling, Kedah tempat berlakunya demonstrasi 1974 kerana kemiskinan akibat kejatuhan harga komoditi itu, penduduknya mulai marah sekarang.

Pada 1974, penoreh getah di Baling, Kedah berdemonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan kejatuhan harga komoditi itu pada tahap sangat rendah.

 Pada 1974, penoreh getah di Baling, Kedah berdemonstrasi apabila harga getah jatuh pada tahap sangat rendah, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa it terlibat secara langsung dalam demonstrasi tersebut. – Gambar fail.  
Pada 1974, penoreh getah di Baling, Kedah berdemonstrasi apabila harga getah jatuh pada tahap sangat rendah, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa it terlibat secara langsung dalam demonstrasi tersebut. – Gambar fail.  

Hero pada ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlibat secara langsung dalam demonstrasi tersebut.

"Saya meminta Datuk Seri Anwar membawa isu ini sekali lagi ketika beliau berkempen di Kajang sekarang," kata Mazlan Aliman, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) yang turut terasa dengan masalah kejatuhan harga komoditi ini.

Menurut Mazlan, Anak sudah menghantar memorandum kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Unggah Embas mengenainya sebaik sahaja harga getah mulai jatuh hampir setahun lalu.

"Kita mencadangkan agar subsidi diberikan kepada petani ini untuk sekurang-kurangnya melepaskan mereka dari paras kemiskinan," kata Mazlan kepada The Malaysian Insider.

Sebelum itu, Mazlan dan anak buahnya menjelajah seluruh negara bertemu dengan pekebun kecil getah bagi menilai masalah mereka akibat kejatuhan harga getah ini.

Menurut portal milik PAS, Harakahdaily, seorang penoreh getah dari Kampung Caruk Bemban, Kupang, Zakaria Abdul Wahab, 58, mencabar media massa di negara ini membuat tinjauan segera mengenai harga getah semasa yang makin jatuh merudum.

Harga semasa getah sekarang ialah RM2.30 sehingga RM2.70 sekilogram mengikut kawasan dan kemungkinan akan jatuh lagi.

Situasi itu katanya, membuatkan penoreh terpaksa mengikat perut sekali lagi ekoran harga barangan kian melambung berbanding pada 2009 dan 2010 di mana harga getah melonjak tinggi sehingga melegakan para penoreh.

Beliau bimbang, kejadian Baling 1974 akan berulang.

Di Setiu, Terengganu, harga getah sekerap hanyalah sekitar RM2.40 sekilo berbanding RM 4.50 - 5 sekilo dua tahun lalu.

Seorang aktivis masyarakat di Setiu, Dr Azman Ibrahim, ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, topik kejatuhan harga getah kini menjadi isu utama di kedai kopi di kawasan beliau itu.

"Sekarang musim panas, daun getah luruh, pohon getah kurang keluar susu. Harga getah sekerap sekilo RM2.40.

"Musim susu kurang sekarang, sebatang pohon getah kena toreh 3 hari baru cukup sekilo. Harga 3 kilo getah baru cukup utk beli sekilo ikan selayang.

"Maknanya sebatang pokok getah kena toreh sembilan hari, baru boleh beli sekilo ikan kelas paria macam ikan selayang!" tulis Dr Azman dalam Facebooknya.

Di Kuala Nerang, Kedah, pekebun getah sekitar Mukim Kurung Hitam, terpaksa merayu kerajaan supaya membantu pekebun kecil mengekalkan harga getah yang dikatakan semakin turun hingga membebankan keluarga pekebun, akhir-akhir ini.

Penoreh, Mohd Sobri Mohd Hassan, 44, dari Kampung Belukar berkata, nasib penoreh getah kini boleh dikatakan seperti pada era 80-an kerana walaupun harga getah sekarang sekitar RM2.60 sekilogram, tetapi kos kehidupan yang tinggi seperti tidak ada nilainya.

Bagi Jewe Jeman, 60, jika kerajaan tidak masuk campur dalam menentukan harga, sudah pasti harga getah turun lagi.

Katanya, selain harga getah semakin menurun, masalah kuantiti hasil yang semakin berkurangan juga turut menjadi masalah kepada penoreh terutamanya pada musim kemarau ini sebab daun getah akan luruh dan mengeluarkan pucuk hingga menjejaskan pengeluaran.

“Dulu, setiap 10 hari saya mampu memperoleh 100kg iaitu RM140 untuk kebun seluas 0.6 hektar, tetapi kini ia mampu menghasilkan 60kg sahaja,” katanya sebagaimana dilaporkan akhbar Sinar Harian.

Ekoran dari kejatuhan harga itu, kerajaan diminta berbuat sesuatu bagi meringankan bebanan mereka.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, untuk mengelak penoreh getah daripada terus terhimpit kerana penurunan harga getah tersebut, kerajaan perlu memikirkan satu mekanisme khusus bagi membantu mereka.

"Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membantu mereka pada saya untuk tempoh ini... mungkin kerajaan boleh membantu dengan memberi bantuan khusus kepada mereka

"Mungkin model BR1M boleh dijadikan contoh," katanya.

Tiada ulasan: