Jumaat, 7 Februari 2014

Di Sebalik Provokasi Perkauman, Bala Besar Sedang Menunggu Najib

shahbudindotcom


Tindakan sebuah NGO yang menamakan dirinya Majlis Jamaah NGO Islam Malaysia mengadakan demonstrasi membantah penerbitan video yang dibuat oleh pemimpin DAP, Teresa Kok yang dianggap menghina orang Melayu dan pemimpin tertentu, sambil menyembelih ayam dan melumurkan darahnya pada gambar beberapa pemimpin pembangkang, adalah suatu perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia ini.

Ia tidak lain merupakan provokasi perkauman dan menggalakkan pertumpahan darah. Walaupun kita tidak bersetuju dengan tindakan Teresa Kok menerbitkan klip video yang dianggap menghina dan keterlaluan itu, tetapi cara bantahan dengan menyembelih ayam dan melumurkan darahnya sebagai simbolik mengajak pertumpahan darah, adalah juga perbuatan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima.

Begitu juga dengan tindakan NGO yang sama menawarkan upah sehingga RM1200 kepada sesiapa yang dapat menampar muka Teresa Kok, ia bukanlah cara yang sewajarnya melawan musuh politik. Tindakan ini mengundang bahaya yang lebih besar kepada keamanan, keharmonian dan kedamaian antara kaum di negara ini.

Persoalannya, apakah dengan hanya berdemonstrasi seramai 50 dan membuat provokasi melampau yang seolah-olah mengajak pergaduhan, ia suatu bukti gah menandakan orang Melayu sudah cukup gagah untuk bergaduh dan bertumpah darah?

Bagaimanapun, diharapkan tiada mana-mana pihak yang pendek akal yang sanggup menyahut tawaran tawaran NGO tidak matang ini. Percayalah, NGO ini hanya inginkan perhatian daripada pucuk pimpinan UMNO dengan menunjuk keberanian dengan maksud yang hanya mereka saja mengetahuinya.

Jika berlaku sesuatu yang buruk nanti, NGO inilah yang paling awal menghilangkan diri.

Penghinaan dan cara serangan melalui video, sebagaimana yang dilakukan oleh Teresa, sepatutnya hanya dibalas dengan serangan dalam bentuk yang serupa juga dan bukannya dengan cara yang melampau. Ini semua adalah sebahagian daripada proses berpolitik yang sepatutnya ditangani dengan akal, hujah dan penuh kematangan.

Dalam masa yang sama, apa yang telah dilakukan oleh Teresa Kok sudah pun dibuat banyak laporan polis oleh pelbagai pihak, malangnya tiada tindakan setakat ini, namun dengan reaksi melampau yang dilakukan oleh NGO ini, sudah sewajarnya pimpinan kerajaan, terutamanya Najib segera memberikan reaksinya. Beliau perlu menghentikan ketidakwajaran ini daripara berterusan.

Sudah sampai masanya, Najib selaku Perdana Menteri, bukan saja perlu bersuara menyatakan ketegasannya untuk membendung perkara tidak sihat ini daripada berterusan, bahkan beliau juga sepatutnya pantas mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi agar segera berbuat sesuatu melalui PDRM yang berada dibawah kendaliannya.

Mungkin Teresa perlu dipanggil untuk diambil kenyataannya, begitu juga dengan NGO terbabit. Sekiranya perlu diambil tindakan kepada kedua-duanya, jangan takut untuk berbuat demikian. Melengahkan untuk bertindak tegas hanya menjerumuskan kepada pelbagai kemungkinan yang lebih buruk untuk negara.

Selama ini, kepimpinan Najib sering dibelenggu dengan aspek kelemahan dan tiada keegasannya dalam banyak perkara. Usaha melaga-lagakan antara kaum dan agama sudah terlalu banyak berlaku sejak beliau memimpin negara ini. Dalam isu kalimah Allah, ketika ketegasan dan pendirian kukuh kerajaan begitu dituntut untuk meredakan ketegangan antara Islam dan Kristian, Najib ternyata hanya berdiam diri dan seolah-olah menyerahkan kepada takdir semata-mata untuk menyelesaikannya.

Dalam isu yang dimulakan oleh Teresa Kok ini, sekali lagi ketegasan Najib dan kerajaan amat dituntut sebenarnya. Membiarkan unsur-unsur provokasi kaum berlaku tanpa kawalan, bukan saja mengundang bahaya dari segi keamanan dan kerharmonian, tetapi juga umpama menjemput bala yang besar kepada Najib sendiri.

Selepas berlaku peristiwa berdarah 13 Mei, negara sebenarnya tidak memerlukan satu lagi tragedi seumpama itu. Perkara ini boleh dielakkan dengan Najib segera bersuara dan mengambil tindakan tegas agar kejadian ini tidak berterusan menggugat keamanan dan juga tidak mendatangkan bahaya dari segi persepsi umum terhadap kepimpinannya serta tidak berulang di masa depan.

Berlakunya kejadian menyembelih ayam, melumurkan darah dan mengupah untuk menampar orang lain adalah tindakan jahiliyah yang bertentangan dengan dunia moden yang berpaksikan kematangan dan intelektual yang tinggi. Berlawan dengan musuh politik bukan begitu cara dan kaedahnya. Meskipun NGO ini bukan berkaitan dengan politik dan mungkin juga tiada kena-mengena dengan UMNO, tetapi Najib harus menghentikan mereka ini daripada terus membusukkan dunia orang-orang politik.

Semuanya hanya boleh dihentikan jika Najib segara menunjukkan ketegasannya dan tiada komprominya dalam hal ini. Tetapi jika beliau memilih untuk berdiam diri dan dilihat terus lemah sebagaimana dalam beberapa isu sebelum ini, bala itu pasti akan terus mengejar serta tidak mustahil akan menghempapnya suatu hari nanti.

Kejadian provokasi kaum ini adalah signal paling terang bahawa negara tidak memerlukan pemimpin yang lemah dan tidak tegas untuk berada lebih lama menggenggam kuasa.

Pilihan berada sepenuhnya di tangan Najib sekarang ini.

Tiada ulasan: