KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) menolak sama sekali jemputan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur untuk menghadiri sambutan Hari Australia, 22 Januari ini.
Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan, V Sivakumar; Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Syed Azman Syed Nawawi dan Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam kenyataan bersama mereka menyatakan walaupun PR berbesar hati dengan undangan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu, ia perlu ditolak kerana kehadiran LYNAS Malaysia Sdn Bhd sebagai satu daripada penaja.
Menurut mereka, pelawaan itu sebenarnya adalah satu inisiatif besar mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara, tapi demi prinsip ia tidak wajar disertai.
“PR membuat keputusan untuk tidak menghadiri majlis itu kerana LYNAS menjadi satu daripada penaja sambutan itu.
“Sebilangan besar rakyat Malaysia menganggap LYNAS sebagai kilang pelaburan pemprosesan nadir bumi yang tidak diundang di sini. Jika PR memenuhi jemputan itu, sudah tentu melanggar prinsip kami dan janji pilihan raya lalu.
“LYNAS bermula di Malaysia tanpa mendapat penilaian keperluan, prosedur, kajian lokasi dan hanya beroperasi dengan lesen sementara kerana ia tidak mematuhi piawaian ditetapkan,” mengikut kenyataan itu.
Tambah mereka, LYNAS juga tidak mengambil kira sentimen rakyat yang menurunkan sejumlah 1.2 juta tandatangan bantahan terhadap loji pemprosesannya di Pahang.
“Bagaimanapun PR mengucapkan setinggi penghargaan dan selamat maju jaya kepada Suruhanjaya Tinggi Australia dalam sambutan Hari Australia dan Tahun Baru 2014.
“Kami juga berharap Suruhanjaya Tinggi Australia memahami pendirian PR terhadap pencemaran alam sekitar yang tidak bertanggungjawab serta tidak menjadikannya sebagai isu dalam melemahkan persahabatan dan muhibah bersama warga Australia,” kata mereka. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan